Thursday, 18 October 2012

Travelog Penghujung Lima Tahun Setengah

Assalammualaikum w.b.t

Lama sebenarnya saya tidak berkongsi sudut pemikiran dan menulis dalam blog ini. Maafkan saya duhai cik blog sayang. Saya teramat-amat sibuk dan tiada idea.

Penulisan kali ini saya tidak melakukan draf awal seperti kebiasaan dan hanya tercetus direct dari dalaman diri ini (andai jalan penulisan bercelaru, faham-faham ye). Diselubungi suasana hujan (kebiasaan hujung tahun di Pantai Timur) membuatkan hati saya semakin sayu untuk meninggalkan bumi Besut ini. Jujur dalam hati saya, saya suka tempat ini. InsyaAllah bila sudah berkeluarga kelak. Saya akan kembali bercuti di tempat ini. 

Setiap Yang Bertemu Akan Berpisah

Lebih kurang empat tahun saya berada di bumi Besut ini dan kini hanya menghitung hari untuk meninggalkan tempat terletak cinta sukan berbasikal saya di sini. InsyaAllah tahun depan akan berkelana ke negeri lain. Semoga Allah juga permudahkan urusan kalian yang akan mula diberi penempatan kelak.

Lumrah kehidupan setiap yang bertemu akan berpisah. Perjalanan lima tahun setengah sememangnya penuh dengan pengalaman yang bermanfaat. Bagaimana permulaan yang jahil dan di penghujungnya Allah hadirkan kita, mereka-mereka yang hebat yang dapat membantu diri ke arah lebih baik. Allah sebaik-baik Perancang dan Penentu hidup mahlukNya.

Ia ibarat analogi kemandirian spesies tumbuhan. Bagaimana induk perlu menyebarkan biji benihnya dengan pelbagai cara seperti melalui mekanisme letupan, air, angin dan haiwan. Sama juga seperti kita, kita akan bertebaran diseluruh pelusuk negara dengan memikul amanah sebagai pendidik. Jadilah pendidik yang berkhidmat keutamaannya kerana Allah. Tuntutlah, amalkan dan sebarkan ilmu.

Kita Belum Merdeka Tetapi Akan Memikul Amanah Yang Besar

Saya teruja apabila mendengar gurindam bait-bait syair salah seorang sahabat saya dan salah satu pernyataan beliau yang bermaksud lebih kurang begini  " berada maktab ini tidak mencabar mana pun, lepas ini lagi hebat cabarannya".

Saya setuju kerana lima tahun setengah kita belajar dan mempraktikkan dalam praktikum, bengkel, seminar, Bina Insan Guru dan kini semua itu akan berakhir dalam definisi seorang pelatih. Kita sebenarnya belum merdeka. Kita tanam dalam diri kita, kita hanya akan merdeka apabila di akhirat kelak kita lulus dalam semakan dan audit olehNya akan amanah yang kita pikul sebagai pendidik ini. Ketika itu istilah merdeka itu baru wujud.

Jangan bina konteks merdeka terlalu awal kerana kita sebenarnya PELUPA

Kita Sebenarnya PELUPA

Kita LUPA untuk 'recheck', reflek diri kita setiap masa
Kita LUPA sebenarnya ada yang diuji lebih hebat dari kita
Kita LUPA Allah bila kita merasa secubit sahaja 'kebahagian'
Kita LUPA kita akan mati bila-bila masa sahaja dari sekarang
Kita LUPA usia kita sebenarnya semakin singkat bukan semakin bertambah
Kita LUPA sebenarnya kita ada amanah yang sangat besar kehidupan didunia ini
Kita LUPA keperluan menghayati berbanding sekadar menghabiskan solat dan sebagainya

Sememangnya kita sebenarnya adalah PELUPA!!! Dan yang paling teruk ialah kita LUPA sebab musabab kita dijadikan olehNya dimuka bumi ini. Betulkan?
Eh Stop!! Nanti dulu.. Masih Belum Terlambat

Saya tertarik dengan satu potong ayat dari surah Al-Kahfi ayat 30.

Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Selagi kita masih hidup ini, gunakan sebaik mungkin masa yang berbaki untuk perbaiki amalan. Tiada istilah terlambat dan Allah sentiasa ada menerima pembetulan diri kita. Bersungguh-sungguhlah memperbaiki diri. InsyaAllah.

Agak sukar untuk mengikis keseluruhan secara serentak sifat PELUPA itu, namun kita boleh melakukan dengan sedikit demi sedikit. Kuatkan azam diri kita.

Penangguhan Bicara

Lima tahun setengah itu suatu tempoh yang sangat panjang dan kita akan menempuh puluhan tahun yang lebih panjang (jika dipanjangkan umur). Mulai saat ini, detik ini kita ubah corak pemikiran kita. Kita akan jadi pendidik kerana Allah kerana salah satu amalan yang berterusan ialah ilmu yang bermanfaat. Insankan dahulu diri kita sebelum kita memikul amanah membentuk modal insan. Masih belum terlambat dan jangan letak dalam diri kita, kita sudah terlambat. Ianya membunuh motivasi diri kita.

Ayuh transformasi diri dari pelatih ke pendidik yang bermutu tinggi disisi Allah. 

Sudut Pemikiran: Osman.Z




No comments:

Post a Comment