Monday 15 April 2013

Saya, Anda, Kita, Mereka : Angan-Angan dan Cita-Cita



Kisah Azim dan Hussin
 
Azim merupakan seorang pemuda biasa yang tinggal disebuah kampung. Sedang beliau melintasi sebuah kebun cili milik Rahman, terdetik dalam pemikirannya.

“Wah cantik pokok cili Rahman ni. Kalaulah aku boleh buat macam ini juga. Emm..Modal mesti besar ni. Takpe satu hari  nanti aku akan buat macam ini juga”. Berlalu pergi sambil sepuntung rokok masih terkemam dalam bibirnya.

Seketika kemudian, Hussin melintasi kebun cili tersebut. Serta merta Hussin memberhentikan motornya dan meninjau-ninjau keseluruhan kebun. Sama seperti Azim, Hussin mula berfikir sesuatu.
“Aiyoo..Cantik pokok cili ni.  Kalaulah aku boleh buat macam ini juga mesti untung”

Tiba-tiba. Tup!! Hussin terlihat sesusuk tubuh tertonggeng-tonggeng memetik hasil cilinya. Hussin terus mendapatkan Rahman dan mula bertanya sedikit sebanyak mengenai tanaman cili.

:: Tiga bulan kemudian ::

Azim tidak memulakan apa-apa bahkan hanya mengimpikan beliau juga akan jadi seperti Rahman suatu hari nanti. Manakala, Hussin sudah mula memungut hasil pertama projek cilinya walaupun sekadar permulaan 100 pokok.

*Cerita dongeng ini tiada kaitan sama ada yang masih hidup atau yang telah mati.

Angan-Angan Vs Cita-Cita

Cuba kita imbas kembali mengapa kisah Mat Jenin dinamakan sebagai Angan-Angan Mat Jenin dan bukannya Cita-Cita Mat Jenin?

Kerana ia adalah dua prosedur kerangka kerja yang berbeza. Pertama, angan-angan lebih kepada kerangka idea manakala cita-cita merupakan gabungan kerangka idea, kerangka usaha dan kerangka tawakal kepada Allah. 

Seperti kisah dongeng di atas, kedua-dua mempunyai kerangka idea yang sangat optimis dan membayangkan untuk mencapai setidak-tidaknya secebis kejayaan dipengakhirannya. Namun idea yang bernas tidak bernilai sekiranya tiada kerangka usaha yang progresif dan sistematik dan selebihnya kita berserah kepada Allah yang pengatur kehidupan ini.

Mulai Saat Ini Saya, Anda, Kita, Mereka : Reset Minda

Kita reset minda kita. Kita ubah angan-angan itu menjadi cita-cita. Tidak mengapa setinggi mana cita-cita kita itu. Ia TIDAK MENJADI KESALAHAN. Yang menjadikan ia salah ialah bila kita masih tidak mahu berganjak ke posisi yang lebih baik. Mahu tidak mahu kita reset minda kita. InsyaAllah, kita akan berjaya.

Dunia dan Akhirat : Imbangi

Paling penting cita-cita kita merangkumi kejayaan dunia dan akhirat. Jangan kerana dunia kita tinggal akhirat dan jangan kerana akhirat kita abai dunia. 

Teringat saya akan kata-kata Abdullah bin Mas’ud ;

“Sungguh! Aku sangat benci melihat sebuah pengangguran yang tidak bekerja untuk dunianya dan tidak pula beramal untuk akhiratnya.”

(Gen-Q, VOL 3:  ISU NO. 20)

Saya, Anda, Kita, Mereka : Kita Berhak Untuk Berjaya

Setiap insan berhak untuk berjaya. Kejayaan itu tidak hadir sekadar dengan kerangka idea yang bernas, namun perlu diintergasikan dengan kerangka usaha dan kerangka tawakal kepadaNya.

Yang paling penting bagaimana cita-cita itu membawa kejayaan dunia dan akhirat dan bagaimana kita menghadapi kejayaan itu sebagai satu ujian. Ujian kesenangan dariNya untuk menilai sejauh mana iman kita. Adakah kita hanyut apabila kita berjaya atau kita menangis takut kita hanyut apabila telah berjaya? 

Ya Allah sekiranya kejayaan itu hadir dalam diri kami. Jadikan diri kami ini semakin dekat denganMu bukan semakin menjauhiMu. Amiin.

#Cita-cita itu jauh lebih baik dari sekadar angan-angan.

Sudut Pemikiran

Osman.Z  
 


Thursday 6 December 2012

S.I.L.A.P K.I.T.A

Assalammualaikum w.b.t

Sebenarnya banyak silap yang dilakukan oleh kita-kita ini sehingga menyebabkan kita jauh ketinggalan. Saya menulis juga untuk menyedarkan diri saya yang masih jauh sebab ia adalah penyakit masyarakat kita.

M.A.S.A

Kita pandai menjaga masa dengan manusia berbanding menjaga masa dengan Pencipta. Ini berlaku dalam kebanyakan kita. Bila soal kerja kita lakukan bersungguh-sungguh tapi bila soal solat, kadangkala ketinggalan. Eh stop ! Jangan macam tu, masih ada ruang dan masa. Mulai sekarang walau sesibuk mana masa dengan manusia. Jangan dilupakan yang wajib masa dengan Pencipta.

B.U.S.UK. H.A.T.I

Kita tidak boleh lihat orang lain melebihi dari kita. Tidak mengapa kalau kita berasa cemburu dan kita ingin mencontohi kejayaan orang lain. Masalahnya disini, kita tidak mencontohi bahkan sungguh proaktif mencantas orang lain. Oh.. Sampai bila-bila kita tidak akan berjaya.

D.I.S.I.P.L.I.N

Ia soal disiplin. Saya pernah suatu pagi ke kedai hardware. Dan apa yang saya lihat ialah taukey (Cina) kedai hardware tersebut bersembahyang. Mungkin untuk memudahkan rezeki masuk. Itu kepercayaan mereka. Namun kita, sama ada dilahirkan sebagai Islam keturunan atau tidak. Kita alpa. Jika hubungan dengan Allah kita tidak jaga, bagaimana Allah hendak memakbulkan permintaan kita? Khususnya dalam soal mencari rezeki.

T.A.K.U.T

Kita takut untuk mencuba sesuatu yang baru malahan bukan sekadar corak pergerakan dan  pemikiran yang lama dan primitif bahkan ketakutan dalaman yang menyebakan ia begitu. Sebagai contoh, apabila kita cuba melakukan sesuatu kelainan maka akan muncul suara-suara sumbang (dalaman atau luaran) yang membunuh motivasi untuk melakukan kelainan tersebut. Ini yang berlaku sebenarnya. Jika pendirian tidak teguh maka ketakutan akan kegagalan akan menguasai rentak perubahan tersebut.

H.I.B.U.R.A.N

Kita cukup ligat dalam soal hiburan. Rancangan realiti ibarat cendawan tumbuh mekar selepas hujan. Ibaratnya kita membentuk pelapis bangsa (Melayu) yang lebih kepada hiburan berbanding melahirkan pelapis bangsa yang lebih kepada memikirkan hala tuju negara. Salah ke hiburan? Tidak tetapi perlu ada batasan dan berpada-pada.

# Mood terkilan kerana dikhabarkan Malaysia akan dijadikan destinasi anjuran anugerah muzik / seni Korea. Tidak kisah jika mereka ingin menganjurkan di Malaysia cuma kisah berapa ramai anak bangsa berpusu-pusu bersorak kepada mereka sama ada di karpet merah atau sebaliknya. Bukan apa takut kita lupa dalam masa yang sama saudara kita sedang diancam di negara mereka.

Pengakhiran

Perkara pokok yang paling penting yang saya sangat seronok untuk dikongsikan ialah berdasarkan pernyataan seorang penulis terkenal Hilal Asyraf dan telah saya olah semula.
" Cuba kita renung di mana kita disisi Allah tetapi cuba fikirkan di mana Allah dalam pemikiran, perlakuan, dan jiwa kita "
Nampak kan? Ia sangat ringkas dan padat. Jika kita jaga segala-galanya dengan Pencipta kita. InsyaAllah kita akan jadi insan yang berjaya. Jangan terlalu keMELAYUan mengatasi keISLAMan. Kerana Melayu itu tiada nilai jika tiada Islam dalam pemikiran, perlakuan dan jiwanya. Renung-renungkan.
 

Sudut Pemikiran : Osman.Z

Tuesday 27 November 2012

K.E.P.U.T.U.S.A.N

Assalammualaikum w.b.t

Alamak sudah bersawang nampaknya blog ni. Macam mana nak jadi penulis ni kalau tidak boleh nak konsisten kan. Emm.. (kena sebijik atas dahi)

Sepanjang bergelar pelajar yang sudah menamatkan pengajian ini, saya merasakan ia adalah hari-hari yang berlalu dengan sangat lambat dek kewangan yang agak mencemaskan. Hehe. Kena usaha lebih ni kan.

Hendak dijadikan cerita penulisan kali ini berkait dengan pemikiran saya yang berkisar mengenai keputusan.

Mengapa K.E.P.U.T.U.S.A.N ?

Apa keputusan yang kita buat dalam tempoh masa sebulan dua ini?

Mungkin ada yang membuat keputusan untuk mengakhiri zaman bujang dan ada yang mula ke arah itu dengan mengikat tali pertunangan.

Mungkin ada yang membuat keputusan untuk bekerja untuk mengisi kekosongan masa yang ada dalam penantian untuk ditemuduga.

Mungkin ada yang mengambil langkah progresif dengan memulakan perniagaan.

Mungkin ada yang mula bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan untuk menginfaqkan diri, tenaga dan harta melakukan amal.

Mungkin dan banyak lagi kemungkinan dalam membuat sesuatu keputusan. Ia merujuk kepada apa keputusan yang telah kita buat.

Langkah Awal

Sebelum kita ingin membuat sesuatu keputusan. Cuba kita ambil masa untuk menyenaraikan matlamat utama kita dan kemungkinan perkara atau permasalahan yang timbul.

Kemudian dari jangkaan permasalahan tersebut, kita cuba senaraikan seberapa banyak langkah untuk mengatasinya. Ia sememangnya rumit namun langkah ini sangat penting untuk persediaan pada masa hadapan.

Bak kata omputih. It's better to think first than just jump from the sinking boat.

Oleh yang demikian, bermula dengan saat ini. Yakin dengan setiap keputusan yang telah kita buat dan jika ada suara sumbang yang seakan meruntuhkan semangat kita. Anggaplah ia seakan tembok kecil dalam keputusan tersebut. Bertindaklah dengan penuh ketertiban dan perancangan yang rapi. InsyaAllah akan dipermudahkan olehNya.

Dan yang paling penting ingatlah setiap keputusan yang kita pilih, Allah adalah sebaik-baik Perancang dan Penentu keputusan itu. Kerana Dia Maha Mengetahui akan tiap sesuatu. ^____^

Sudut Pemikiran: Osman.Z


Tuesday 6 November 2012

I'm in L.O.V.E : Becoming a Murabbi

Assalammualaikum w.b.t

Penulisan kali ini tulus ikhlas kepada mereka-mereka yang sudah menghabiskan masa lima tahun setengah bergelar seorang pelajar atau pelatih.

Mesti semua sudah berseri-seri kan. Almaklumlah ada yang sudah mula berkira-kira hendak mendirikan masjid, ada yang sudah mula berkira-kira mengumpulkan aset dan berbagai lagi. Selamatlah hendaknya ye. InsyaAllah semoga Allah permudahkan perjalanan kita semua.

Tetapi semestinya ramai diantara kita yang sedih, sayu, dan berat hati untuk meninggalkan tempat ini. Bahkan masa ini setiap masa bersama rakan adalah masa yang paling berharga. Itulah perasaan hari-hari terakhir sebagai abang dan kakak semester lapan.

Saya teringat kata-kata sahabat saya suatu ketika dahulu "jangan membenci tempat kita menuntut ilmu". Buat apa kita nak benci dengan tempat kita menuntut ilmu. kalau kita benci maknanya kita benci apa yang Allah takdirkan dalam diri kita. Betul? Sebab Allah sudah tetapkan perjalanan kita ini.

Maka, ubah pemikiran kita.



I'm In L.O.V.E

Mengapa, kenapa dan sebab apa saya katakan I'm in love? Bukan jiwang beb. 

Cuba kita putar masa, kita undur semula. Berapa ramai niat dan betul-betul berniat hendak menjadi pendidik? Sila angkat tangan.

Tidak perlu tuding jari kepada sesiapa. Jujur saya sendiri menyatakan bahawa menjadi pendidik adalah pilihan kedua. Namun perjalanan sepanjang lima tahun setengah ini telah membuka hati dan kecintaan untuk menjadi pendidik. Itulah yang dikatakan I'm in love.

Kalau kita jatuh cinta semestinya bermula dengan perasaan suka kan. Cuma yang istimewa kecintaan ini, ia tidak dimulakan dengan perasaan suka. Cantik bukan perjalanan yang Allah aturkan untuk kita.



Becoming a Murabbi

Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.
 [sumber: wikipedia]

Kita baru sahaja akan memulakan tugas ini. Kita perlu berkhidmat puluhan tahun. Adakah kita sekadar untuk menjadi guru biasa? Semestinya tidak.

Oleh yang demikian, kita fahami dan hayati konsep Murabbi. InsyaAllah akan dipermudahkan segalanya.

Teringat dahulu perkongsian oleh Dr. Zailah Zainudin.

Jadikan mengajar itu satu ibadah dengan mengamalkan 6i ini.


Ikhlas
Ihsan
(i yang hilang = tekun)
Isytihad (bersungguh-sungguh)
Isytimaq (kolaboratif)
Istiqamah (konsisten)
 #Saya kehilangan satu i tersebut, mohon tolong tambahkan ye. (Kalau silap tolong betulkan, saya tidak berapa pasti. Almaklumlah penguasaan Bahasa Arab saya yang lemah)

Biarlah keikhlasan dalam menghayati konsep Murabbi ini memberikan nilai tambah dalam menjalankan amanah yang dipikul. Semoga ia dinilai oleh Allah kelak.

Penutup Bicara : Ia Adalah Amanah




Menggalas amanah sebagai murabbi ini sangat besar dan bukan perkara yang boleh dipandang sebelah mata. Kelak kita akan dipersoalkan tentang apa yang kita kerjakan dalam menggalas amanah ini. Semoga setiap dari kita menetapkan mindset kita ia adalah amanah. InsyaAllah.


 


Mengakhiri penulisan saya yang tidak seberapa ini. Saya ingin memohon ampun maaf andai saya ada melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada secara sedar atau tidak. Kalau ada yang terhutang dan terambil. Saya memohon ia dituntut dan dihalalkan. Semoga Allah permudahkan perjalanan kita semua.

Semoga Allah permudahkan perjalanan kita dalam memahami dan menghayati konsep Murabbi dalam diri kita.

Sudut Pemikiran : Osman.Z

Saturday 3 November 2012

Puisi Buat Diri Yang Mengharap Cinta Ilahi

Alhamdulillah saya berjumpa satu bahan bacaan yang antara paling menarik pernah saya baca.


Mungkin ramai dari kalangan pembaca lebih mengenali buku atau majalah ini. Saya beranggap ia pembelian yang sangat berbaloi kerana harganya cuma RM7. Tidak rugi untuk dimiliki. Saya sekadar berkongsi bahawa bahan bacaan ini sangat berbaloi. Selamat memiliki.

Saya ingin mengetuk kotak pemikiran kita. Apa kita fahami mengenai cinta?

Cuba pembaca cari sekeping kertas kecil dan tulis apa yang pembaca faham mengenai cinta kemudian kalau baik hati boleh post semula diruangan komen dibawah. Saya mengharapkan respon pembaca.

Cinta Membawa Kepada Kebahagiaan

Ibnu Qayyim ada mengungkapkan:

Cinta itu tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan daripada mengingati Allah dan menjauhkan daripada cintaNya.

Berapa ramai dalam kalangan kita apabila menjamu juadah yang sangat enak tiba-tiba terhenti dan terdetik dalam dirinya. "Ya Allah bagaimana saudaraku di Palestine, di Syria, di Myanmar dan sebagainya. Adakah mereka dapat memenuhi perut mereka dengan makanan atau tidak. Ampuni dosaku dan saudaraku Ya Allah".

Berapa ramai dalam kalangan kita apabila melihat seorang buta yang membawa tongkat dan meminta bantuan dari orang ramai yang kemudiannya merenung kembali diri. "Ya Allah, aku ada mata dan dia ada mata. Tetapi aku merasa nikmat melihat namun dia tidak merasanya. Aku melihat perkara yang tidak baik namun dia terselamat untuk tidak melihat perkara yang tidak baik. Ampuni aku Ya Allah, aku melampaui batasanku".

Ia soal cinta. Mengapa saya katakan cinta? Kerana apabila kita merasakan cinta kepada sesuatu, setiap detik kita akan ingat dengan sesuatu itu.

Betul atau tidak?

Cuba kita lihat mereka yang kecintaan kepada Pemilik Cinta yang sebenar Allah yang menciptakan semua ini. Setiap saat setiap detik mereka akan cuba mentarbiah, muhasabah, dan reset kembali diri. Supaya diri mereka tidak menjauhi Allah. Saat sedih ingat Allah bahkan saat bahagia masih ingat Allah. Ia adalah cinta membawa kepada kebahagiaan.

Puisi Buat Diri Yang Mengharap Cinta Ilahi


Pesanan buat diri, 
Pesanan buat hati,
Adakah semakin mendekatiNya demi sebuah cinta Ilahi.

Bagaimana kondisi Iman hari ini,
Memang benar baik itu sukar malah istiqamah kekal baik itu lagi sukar,
Memang benar hijrah akan mencetuskan keterasingan,
Saat ramai masih bergelumang dengan lumpur keduniaan,
Demi cinta Ilahi akan dikorbankan semua ini.

Diri oh diri jangan menjauh dari cinta Ilahi,
Diri oh diri jangan pergi menuju cinta Ilahi seorang diri,
Sahut, sebut, seru saudaramu yang masih dalam lumpur keduniaan,
Semoga jaringan transformasi ini mengilhamkan pengakhiran yang baik buat jutaan diri.

Aku mengharapkanmu saudaraku dan aku cuba membawamu saudaraku,
Ayuh kita transformasi diri menuju cinta Ilahi.


Penutup Penulisan

Saya berharap penulisan ini mencetuskan perubahan dalam diri kita semua. Dekati dan bimbing mereka di sekeliling kita. Semoga setiap dari kita merasaai kemanisan terhadap cinta Ilahi ini.

Ampun maaf dipinta penulisan yang tidak seberapa ini.

Akhir kata dapatkan majalah Gen-Q, memang tidak rugi. Sementara masih berada dalam pasaran.

Sudut Pemikiran: Osman.Z






Thursday 18 October 2012

Travelog Penghujung Lima Tahun Setengah

Assalammualaikum w.b.t

Lama sebenarnya saya tidak berkongsi sudut pemikiran dan menulis dalam blog ini. Maafkan saya duhai cik blog sayang. Saya teramat-amat sibuk dan tiada idea.

Penulisan kali ini saya tidak melakukan draf awal seperti kebiasaan dan hanya tercetus direct dari dalaman diri ini (andai jalan penulisan bercelaru, faham-faham ye). Diselubungi suasana hujan (kebiasaan hujung tahun di Pantai Timur) membuatkan hati saya semakin sayu untuk meninggalkan bumi Besut ini. Jujur dalam hati saya, saya suka tempat ini. InsyaAllah bila sudah berkeluarga kelak. Saya akan kembali bercuti di tempat ini. 

Setiap Yang Bertemu Akan Berpisah

Lebih kurang empat tahun saya berada di bumi Besut ini dan kini hanya menghitung hari untuk meninggalkan tempat terletak cinta sukan berbasikal saya di sini. InsyaAllah tahun depan akan berkelana ke negeri lain. Semoga Allah juga permudahkan urusan kalian yang akan mula diberi penempatan kelak.

Lumrah kehidupan setiap yang bertemu akan berpisah. Perjalanan lima tahun setengah sememangnya penuh dengan pengalaman yang bermanfaat. Bagaimana permulaan yang jahil dan di penghujungnya Allah hadirkan kita, mereka-mereka yang hebat yang dapat membantu diri ke arah lebih baik. Allah sebaik-baik Perancang dan Penentu hidup mahlukNya.

Ia ibarat analogi kemandirian spesies tumbuhan. Bagaimana induk perlu menyebarkan biji benihnya dengan pelbagai cara seperti melalui mekanisme letupan, air, angin dan haiwan. Sama juga seperti kita, kita akan bertebaran diseluruh pelusuk negara dengan memikul amanah sebagai pendidik. Jadilah pendidik yang berkhidmat keutamaannya kerana Allah. Tuntutlah, amalkan dan sebarkan ilmu.

Kita Belum Merdeka Tetapi Akan Memikul Amanah Yang Besar

Saya teruja apabila mendengar gurindam bait-bait syair salah seorang sahabat saya dan salah satu pernyataan beliau yang bermaksud lebih kurang begini  " berada maktab ini tidak mencabar mana pun, lepas ini lagi hebat cabarannya".

Saya setuju kerana lima tahun setengah kita belajar dan mempraktikkan dalam praktikum, bengkel, seminar, Bina Insan Guru dan kini semua itu akan berakhir dalam definisi seorang pelatih. Kita sebenarnya belum merdeka. Kita tanam dalam diri kita, kita hanya akan merdeka apabila di akhirat kelak kita lulus dalam semakan dan audit olehNya akan amanah yang kita pikul sebagai pendidik ini. Ketika itu istilah merdeka itu baru wujud.

Jangan bina konteks merdeka terlalu awal kerana kita sebenarnya PELUPA

Kita Sebenarnya PELUPA

Kita LUPA untuk 'recheck', reflek diri kita setiap masa
Kita LUPA sebenarnya ada yang diuji lebih hebat dari kita
Kita LUPA Allah bila kita merasa secubit sahaja 'kebahagian'
Kita LUPA kita akan mati bila-bila masa sahaja dari sekarang
Kita LUPA usia kita sebenarnya semakin singkat bukan semakin bertambah
Kita LUPA sebenarnya kita ada amanah yang sangat besar kehidupan didunia ini
Kita LUPA keperluan menghayati berbanding sekadar menghabiskan solat dan sebagainya

Sememangnya kita sebenarnya adalah PELUPA!!! Dan yang paling teruk ialah kita LUPA sebab musabab kita dijadikan olehNya dimuka bumi ini. Betulkan?
Eh Stop!! Nanti dulu.. Masih Belum Terlambat

Saya tertarik dengan satu potong ayat dari surah Al-Kahfi ayat 30.

Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Selagi kita masih hidup ini, gunakan sebaik mungkin masa yang berbaki untuk perbaiki amalan. Tiada istilah terlambat dan Allah sentiasa ada menerima pembetulan diri kita. Bersungguh-sungguhlah memperbaiki diri. InsyaAllah.

Agak sukar untuk mengikis keseluruhan secara serentak sifat PELUPA itu, namun kita boleh melakukan dengan sedikit demi sedikit. Kuatkan azam diri kita.

Penangguhan Bicara

Lima tahun setengah itu suatu tempoh yang sangat panjang dan kita akan menempuh puluhan tahun yang lebih panjang (jika dipanjangkan umur). Mulai saat ini, detik ini kita ubah corak pemikiran kita. Kita akan jadi pendidik kerana Allah kerana salah satu amalan yang berterusan ialah ilmu yang bermanfaat. Insankan dahulu diri kita sebelum kita memikul amanah membentuk modal insan. Masih belum terlambat dan jangan letak dalam diri kita, kita sudah terlambat. Ianya membunuh motivasi diri kita.

Ayuh transformasi diri dari pelatih ke pendidik yang bermutu tinggi disisi Allah. 

Sudut Pemikiran: Osman.Z




Friday 5 October 2012

Updatekah kita?

Assalammualaikum w.b.t..

Alhamdulillah masih mampu menjalani proses pertukaran oksigen dan karbon dioksida supaya dapat meneruskan baki kehidupan ini. Adakah hari ini lebih baik dari semalam atau hari ini biasa-biasa sahaja atau mungkin lebih teruk dari semalam ? Jangan risau kerana tiada perantaraan antara kita dengan Dia. Updatekan diri kita semua.

 "\(o_O)/"

Sebenarnya agak lama saya tidak menulis. Bukan tak nak atau tidak sempat namun idea seakan tersangkut dipertengahan jalan. Maafkan saya.

Update

Kali ini saya ingin berkongsi pendapat mengenai updatekah kita? Oh my English!!
Update: to make (something) suitable for the present time by adapting it to recent ideas etc
Kita sering dengar istilah update atau kita melakukan, bertindak, menambahbaik sesuatu mengikut kesesuaian dalam tempoh atau rangka masa terkini.

Bila sebut tentang fesyen, soal sukan, soal teknologi dan isu-isu terkini. Kita antara golongan yang updated orang kata. Kita umpama kamus dwibahasa oxford, wikipedia, youtube, facebook, twitter dan berbagai lagi yang merujuk betapa updatenya kita.

Persoalannya benarkah kita ini insan yang update?

Update: Realiti atau Fantasi?

Saya agak tertampar diri sendiri apabila melihat sebuah video ini. 



"Nabi Muhammad (S.A.W) telah memberitahu bahawa antara fitnah-fitnah akhir zaman ialah pada malamnya Muslim dan paginya kafir atau pada paginya dia kafir dan petangnya dia beriman."
Pernah atau tidak kita dengar seseorang itu update dengan teknologi contohnya menggunakan iPhone kemudian kembali menggunakan Nokia 3310? Kemudian kembali kepada iPhone, kemudian kembali kepada Nokia 3310? Janggal bukan? Tetapi ini dalam konteks teknologi bukan benda hidup.

Kita benda hidup yang mempunyai hati kadangkala tergelincir kadangkala kembali. Itu realitinya bukan fantasi.

Cuba kita renung perkara asas kita iaitu solat. Sebelum ini waktu bagaimana kita solat (awal atau lewat), sendirian atau berjemaah, sekadar menghabiskan atau menghayati? Adakah kita update untuk ke arah yang lebih bermakna atau kekal di takuk lama? 

Walau sejauh mana kita merasakan diri ini denganNya, Dia tidak pernah menjauhi kita. Justeru kita perlu mengupdate diri kita supaya hari ini lebih baik dari semalam.

Pandangan dan Teguran Buat Diri Yang Masih Jauh

Saya menulis kerana saya merasakan diri saya masih jauh. Ada yang perlu diupdate.

  1. Soal solat: Utamakan berjemaah, disiplin mengenai masa, hayati bukan sekadar habiskan.
  2. Gaya hidup: Cenderung ke arah mana? Menunjukkan seorang Islam atau lebih kepada seorang yang bukan Islam.
  3. Ilmu Dunia Vs Ilmu Akhirat: Bila soal teori, konsep (boleh meleleh idea) namun bila soal solat jenazah, urus jenazah, sembelihan, hukum hakam (beku tak nak belajar).
  4. Corak pemikiran: Sekadar keduniaan atau persediaan kepada fasa berikutnya? Kita hidup kerana apa?
  5. Iman: Semakin lemah atau berusaha untuk meningkatkan?
  6. Emosi: Emosi yang mengawal atau emosi yang dikawal?
  7. Nafsu: Ikat guna tali atau dikunci rapi?
      (* Boleh ditambah lagi)

Kesimpulan: Update Bukan Sekadar Keduniaan Tetapi Lebih Kepada Diri

Kita tidak boleh menolak peredaran zaman yang kian pesat dan maju tetapi dalam masa yang sama kita perlu pastikan setiap hari kita semakin ke arah yang lebih baik.

Tidak mengapa jika mempunyai gajet terkini, kereta paling moden, dan sebagainya. Ia rezeki dan ia juga ujian. Cuma yang perlu dipastikan diri kita diupdate sentiasa dekat denganNya supaya kita tidak semakin jauh dariNya.

Ampun maaf dipinta andai ada salah silapnya dalam penulisan yang biasa ini.

Sudut Pemikiran : Osman.Z