Wednesday 26 September 2012

Pemuda Pemudi Contohilah Mereka

Assalammualaikum w.b.t

Sebelum saya mulakan penulisan pada kali ini. Saya ingin berkongsi satu gambar ini. Cuba kita duduk, renung dan fikirkan apa pendapat kita terhadap gambar ini.


Renung, Hayati, Fahami Dan Cetus Pendapat Anda

Alhamdulillah terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk merenung, menghayati, fahami dan cetus pendapat anda. Negatif atau positif terpulang pada kebijaksanaan anda. Saya cadangkan anda dapat berkongsi pendapat dalam ruang komen dibawah.

Sebenarnya saya tergerak untuk menulis disebabkan gambar ini. Dan ada satu komen terhadap gambar ini oleh pengguna facebook dari Thailand yang mengatakan "I disagreed with the children join in the war".

Pendapat Dari Saya

Saya ingin berkongsi pendapat dan pandangan saya terhadap gambar ini. Saya akan berasa bangga sekiranya anak-anak muda di negara ini mempunyai corak pemikiran, budaya hidup, semangat dan sebagainya seperti anak-anak muda di Palestin ini. 

Pendapat yang lemah saya ini mengatakan bahawa "They didn't just join in the war. They fight for their rights. Look 360 degrees around us. Is there any youth will think and act like them if any unwanted species dominate your own land and rights?".

Bagi saya mereka matang bukan berdasarkan angka usia mereka. Angka hanya angka tetapi kematangan mereka melangkaui usia mereka. Ya mungkin ada diantara mereka berusia seawal lapan tahun atau mungkin lebih muda dari itu. Tetapi corak pemikiran mereka lebih hebat dari saya yang berusia 23 tahun ini.

Mengapa saya katakan demikian,? Ini pengalaman saya, ada anak-anak muda kini lebih mengenali artis-artis berambut perang, bermata bundar, berleher jinjang, suara yang lunak, tarian yang mengasyikkan dan persembahan yang menghiburkan berbanding kisah pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh Islam yang merindui syahid dalam diri mereka. Ini permasalahan yang berlaku kini. Saya terdetik dengan perkongsian sahabat facebook saya mengenai anak singa dilatih menjadi kijang yang penakut (lebih kurang begini, saya pun tidak ingat).

Siapa anak-anak singa? Kita sebenarnya. Siapa kijang yang penakut? Kita juga sebenarnya. Secara biologinya kita tetap anak singa tetapi sifat anak singa dihapuskan dan digantikan dengan sifat kijang yang penakut. Sebenarnya Allah sudah cabut rasa gerun musuh Islam dalam diri mereka dan kita dicampakkan rasa cinta kepada dunia. Itulah yang berlaku kini.

Kembalilah menjadi anak singa yang berani !

Hidup kita dimomokkan dengan hiburan semata-mata dan kita hanya melahirkan mereka yang melihat dunia adalah segala-galanya melebihi kehidupan kekal disana. Lihat sahaja di stesen-stesen televisyen. Program realiti berunsurkan hiburan bermaharajalela manakala program bersifat Islamik tempatnya hanya dibulan Ramadhan. Mana silapnya?

Saya berpendapat tindakan anak-anak muda dalam gambar tersebut adalah wajar kerana keadaan semasa mereka. Mereka tidak lahir dalam keadaan negara seperti kita. Mereka sebenarnya sangat beruntung kerana jika Allah tanya diakhirat kelak apa yang mereka lakukan terhadap hak mereka, mereka ada jawapan. Mereka juga ada hak untuk bertanya dimanakah bantuan saudara-saudara mereka saat mereka diserang dari segenap pelusuk. Kelak kita akan ditanya. Bila ditanya mana peranan kita dalam membantu saudara kita dalam kesusahan. Apa jawapan kita? 

Jika kita berada ditempat mereka, adakah kita hanya sibuk dengan permainan dunia ini atau kita akan bangun memperjuangkan dan mendapatkan kembali hak kita? Tepuk dada tanya Iman.

Pemuda Pemudi Ayuh Kita Transformasi Diri

Kita sebenarnya berada dihujung pengakhiran sejarah manusia. Kita hanyalah detik-detik terakhir sebelum hadirnya hari tersebut. Jangan buang masa dengan keduniaan tetapi luangkan masa untuk terus hidup di dunia ini memperjuangkan dan menegakkan kebenaran supaya dalam masa yang sama kita bersedia untuk fasa berikutnya yang kekal selama-lamanya.

Jika kadangkala kita tergelincir, ingatlah kembali kepadaNya. Tiada perantaraan antara kita denganNya. Kita sahaja yang bongkak dan sombong untuk tunduk patuh mengikut suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Saya ingin berkongsi satu video oleh Ustaz Nouman Ali Khan yang bertajuk Tips To Improve Your Character. Selamat menonton dan menghayati.


 
Semoga paparan video ini mencetuskan transformasi dalam diri ini. InsyaAllah.

Cetusan Kesedaran

"Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkuk mereka. Mereka sanggup mengambil cuti seminggu bagi menyertai bantahan kepada Israel. Mereka mengeluarkan risalah mengenai kekejaman Israel. Malang sekalu golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa...."

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam bukunya Travelog Minda Tajdid

Jika yang bukan Islam dapat melihat apa yang berlaku disekeliling mereka. Persoalannya, apakah pemuda pemudi kita buta akan perkara ini atau takut untuk melonjakkan pemikiran dan tindakan?

Jangan hanya memerhati tetapi bangunlah bertindak !

Semoga penulisan yang tidak seberapa ini mencetuskan semangat baru dalam diri kita wahai diri ini dan pemuda pemudi sekalian. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca penulisan ini. JAZAKALLAH

Sudut Pemikiran: Osman.Z



Sunday 23 September 2012

Kita Tidak Lebih Sekadar Jutaan Buih Di Lautan

Assalammualaikum w.b.t

Penulisan saya pada kali ini tergerak setelah saya terbaca satu artikel apa yang berlaku di Pakistan. Artikel ini dalam bahasa inggeris (mungkin ada beberapa istilah yang saya tidak dapat tangkap) menceritakan apa yang berlaku kepada gadis-gadis yang ada dirogol oleh lelaki Muslim (dalam artikel tersebut) dan hukuman 'zaman batu' berdasarkan prinsip-prinsip tradisi yang primitif di negara tersebut. Penulisan saya kali ini tidak berkisar mengenai situasi ini kerana saya perlu melakukan pembacaan dan kajian sebelum saya merungkai isu tersebut. Sebab saya takut saya akan menyebarkan maklumat yang salah. Tetapi penulisan saya pada kali ini lebih kepada komen-komen pembaca yang bukan Islam terhadap Islam.

Mereka Tidak Kenal Islam Kerana Kita Tidak Mengamalkan Ajaran Islam Dengan Betul

Saya juga berasa agak sedih dan terkilan apabila membaca komen daripada pembaca artikel tersebut. Rata-rata mereka menyatakan perspektif negatif mengenai Islam. Tidak mengapalah kerana mereka bukan Islam. Mereka tidak didedahkan dengan kebenaran Islam oleh kita.  Kita yang Islam ini yang dilahirkan di akhir zaman inilah yang perlu menyambung perjuangan ini. Bukan bila kita hanya memakai jubah, berserban, bertudung labuh baru merasa layak menyebarkan kebenaran mengenai Islam. Jangan fikir begitu, Islam ini mudah. Selagi kita tidak melangkaui batasan agama, bantulah, berjuanglah dan sebarkanlan demi agama Islam ini.

Cuba kita hayati terjemahan ayat di bawah ini:

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatupun) daripada sekalian mahluk.
(Surah Al-'Ankabut: Ayat 6)

Kita hidup di zaman yang diberi tempoh azabNya. Kalau Allah berkehendak menurunkan suatu azab nescaya kita tidak akan ada ruang masa dan tempat untuk untuk lari daripadanya. Hidup di dunia ini adalah tempat ujian kita sebelum hidup yang kekal selama-lamanya sama ada neraka atau syurga pengakhirannya. Kita berjuang untuk agamaNya sebagai ujian kita didunia ini. Jika Allah berkehendak menghapuskan mereka yang menentangNya, semua itu akan berlaku dalam kekuasaanNya tanpa sedikitpun bantuan hambaNya. Allah berkuasa atas tiap sesuatu.

Saat penciptaan manusia satu persoalan telah timbul;

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih  dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
 (Surah Al-Baqarah: Ayat 30)

Allah lebih mengetahui sebab musabab kita diciptakan dibumi ini. Adakah kita hanya berfikir dunia ini adalah tempat untuk bersuka-ria, berseronok melampaui batasan, mengumpulkan harta yang tidak terhingga dan merasakan mati adalah pengakhiran segalanya? Tidak, dunia ini adalah tempat ujian kita sama ada kita lulus bagi fasa yang berikutnya.

Muslim Era Moden

Teringat kata-kata Sheikh Ahmed Deedat (rahimahullah) dalam satu ucapan beliau:

What's wrong with you? I say there's something wrong with you. You Muslims...
2 MILLION HERE...ALL like emasculated people..WALLAH!

I can see spineless people !
Emasculated people !
Castrated people !

you've got no spirit, no will, no energy, no militancy


Salah siapa disini? Kalau kita baca, fahami, dan hayati al-Quran. Banyak ayat-ayat mereka yang mendustakan nabi yang menyeru mereka untuk menyembah Allah, Pencipta segalanya ini. Bahkan ada diantara mereka mempersendakan azab Allah. Itu yang pernah berlaku dahulu. Kini tidak mustahil kalau mereka yang bukan Islam ini mempersendakan, menghina dan memperkecilkan Islam keseluruhannya ini. Kerana kita yang Islam ini hanya indah dibicara kata namun jauh dari realiti sebenar.

Sekarang bukan masanya kita mengejar kemewahan, membina nama untuk dibangga-bangga dan memenuhi hawa nafsu ini dengan perkara yang sia-sia. Kita di akhir zaman yang penuh dengan fitnah. 

Sampaikan dan sebarkanlah kebenaran dan keindahan agama ini kerana Allah. Kita tidak mampu untuk mengangkat senjata meletakkan nyawa kita berjuang FISABILILLAH (sedangkan pemuda pemudi Palestin rindu akan perkara ini, pemuda pemudi negara ini bagaimana?). Cuma kita perlu menegakkan dan menyebarkan agama ini dengan cara yang lebih kreatif. Tanam dalam hati kita semoga pengakhiran kita didunia ini syahid kerana Allah. Allahuma Zuqni Syahadah...Allahumma Zuqni Syahadah...Allahumma Zuqni Syahadah...

Jika kita amal dan tunjuk ajaran Islam yang sebenar, InsyaAllah mereka yang bukan Islam akan tertarik kepada kita dan mungkin mereka yang masih menghina, mempersendakan dan menjatuhkan Islam adalah yang masih tegar untuk menerima mesej Islam ini. Semoga kita tetap dalam perjalanan hidup ini.

Penutup Bicara

Kita bukan sekadar hidup dalam ruang lingkup masyarakat Islam sekeliling kita sahaja. Kita hidup dalam arus globalisasi yang memerlukan kita menjadi Muslim yang bersikap global tapi tetap berpegang pada ikatanNya. Gunakan, kuasai, dan aplikasi dengan berkesan teknologi dan internet supaya kita dapat amalkan, cetuskan semangat dan sebarkan mengenai Islam melangkaui ruang lingkup masyarakat Islam.

Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala yang buruk itu atas kelemahan diri saya ini. Semoga apa yang sampaikan ini InsyaAllah membawa nilai tambah dan kesedaran dalam kehidupan saya dan pembaca hendaknya. Ampun maaf dipinta. Andai ada salah dan silap mohon perbetulkan diri ini yang baru hendak belajar.

Sudut Pemikiran: Osman.Z

Review: Travelog Minda Tajdid Oleh Dr. MAZA

Assalammualaikum w.b.t

Seperti mana yang dijanjikan saya akan review buku (bukan review sepenuhnya) yang baru sahaja dapat saya habiskan membaca hasil karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin iaitu Travelog Minda Tajdid. Buku ini sudah lama berada dipasaran (mula diterbitkan Nov 2011) kerana buku yang saya miliki ini merupakan cetakan yang keempat. Hampir setahun baru saya dapat memiliki buku ini. Mungkin review ini agak terlewat.

Ramai diantara kita mengenali siapa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. MAZA. Jika kita meluangkan masa mengikuti video-video dakwah beliau (sama ada versi penuh atau yang telah diedit), kita akan dapati idea-idea pemikiran beliau tegas dan tajam terhadap sesuatu isu. Saya berharap dalam hayat ini saya dapat bertemu dengan beliau suatu hari nanti. Semoga Allah makbulkan hajat ini.



Alhamdulillah buku ini seharusnya dimiliki. Kalau anda sudah memiliki buku ini, tahniah anda membuat satu pilihan yang bijak. Hasil karya Dr. MAZA ini merupakan garapan hasil penulisan penulis yang berkaitan dengan laman web minda tajdid beliau dan ada yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (kalau tidak silap)  merangkumi pelbagai konteks permasalahan kini. Buku ini juga merangkumi kisah sepanjang cuti sabatikal penulis di United Kingdom.

Banyak pendapat dan kritikan beliau di dalam buku ini dapat membuka minda kita. Saya agak tertarik dengan beberapa isu dalam buku ini dari sekecil-kecil isu sehingga isu yang bersifat global. Soal hukum hakam sehingga kepada konteks yang lebih luas. Dari sekecil-kecil isu yoga sehingga ke isu isu permasalahan masyarakat, isu Palestine dan sebagainya.

Antara isu yang diutarakan penulis amat menarik dan membuka minda untuk difahami dan dihayati seperti Salam untuk Perdana Menteri Baru, Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati, Jiwa 'Kehambaan' Melayu Mengahalang Perpaduan, Ulama ataupun Profesional Jadi Pemimpin dan Jangan Lebih Lajak daripada Laju. Hasip penulisan ini sesuai dengan kita yang berbangsa Melayu ini supaya dapat membuka kotak pemikiran kita supaya lebih bersifat global dalam sesuatu isu.

Idea dan pendapat yang pedas namun bertepatan dengan situasi sebenar dalam konteks yang lebih luas. Bagaimana kita ini yang hidup dalam zaman yang serba canggih dan penuh cabaran ini dapat mengeluarkan diri dari kotak pemikiran yang jumud. Zaman ini rata-rata antara kita banyak mengiakan berbanding mengkaji dan menegakkan yang benar.

Saya tidak dapat menceritakan keseluruhan hasil penulisan beliau kerana buku ini tidak terikat dengan satu-satu isu. Maknanya di sini konteks idea dan penulisan yang amat luas yang dapat membuka corak pemikiran kita. Maaf kerana tajuk di atas review tetapi seperti tidak direview buku ini. Saya memohon andai ada yang sudi mengajar saya bagaimana hendak mereview sesuatu buku.

Akhir kata buku ini antara pembelian yang berbaloi dan harga yang sangat berpatutan iaitu hanya RM 16 (kalau ada kad keahlian kedai buku lagi murah). Semoga buku ini dapat memberi satu nilai tambah dalam hidup ini yang penuh dengan pelbagai isu ini.

InsyaAllah buku yang berikut yang akan direview ialah buku yang mengambil masa paling lama hendak dihabiskan bacaan hasil karya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah iaitu Nasib Melayu Di Bumi Melayu. Buku ini merupakan terbitan tahun 2010. (InsyaAllah ada buku terbaru beliau yang saya lupa namanya dalam sasaran saya kini). Manakala dua buku hasil karya Prof Dr Muhaya dalam perjalanan diposkan setelah pembelian yang dianggap berbaloi iaitu satu buku termasuk kos hanya RM13.50 sahaja juga dalam perancangan untuk direview kelak. InsyaAllah.

Sudut Pemikiran: Osman.Z
 

Friday 21 September 2012

Jadilah Muslim Yang Kritis Dan Kreatif

Assalammualaikum w.b.t

Saya sebenarnya tidak berkehendak untuk menulis pada pagi ini tetapi sedang saya ber'online'. Pandangan saya tertumpu kepada satu 'share' yang saya lihat dan saya tergerak untuk memberikan pendapat ini.


Saya tidak menyatakan ia salah atau ia betul, cuma penulisan saya ingin berkongsi pendapat saya. Cuba kita imbas kata-kata Dr. Afifi Al-Akiti dalam satu rancangan Sudut Pandang di Astro suatu ketika dahulu.

" to preserve the best of what the ancient have left us. However we cannot stop at preserving the best of what the classical, old tradition....We must learn to adapt, acquire, use the very best of the modern things offered to us today"
Cuba kita hayati kata-kata Dr. Afifi ini. Mengapa beliau mengatakan ini adalah kerana beliau melihat bagaimana Universiti Oxford mengadaptasi tradisi Islam disamping integrasi teknologi yang ada ke dalam sistem mereka untuk menjadikan universiti mereka antara yang tersohor di dunia.

Mungkin ada yang akan bertanya mengapa kaitkan kata-kata Dr. Afifi dengan mesej di atas. Pendapat saya mudah sahaja, kalau sebelum ini saya pernah menulis bahawa filem 'sampah' ini tidak lebih sebagai satu perangkap. Seterusnya saya tergerak untuk melihat komen-komen mengenai 'share' ini. Berlaku banyak percanggahan dalam post berkaitan mesej ini sehingga emosi mengusai keadaan. Jadi dimana kesepakatannya?

Jika suatu ketika dahulu kita pernah melakukan boikot secara menyeluruh apa-apa yang berkaitan dengan kepentingan Israel. Cuba kita lihat kini bagaimana? Sepi, senyap, muram, lesu. Sebenarnya kita memang mudah lupa. KFC diboikot suatu masa dahulu tetapi kita lihat sekarang, masih meriah bukan. Kita tidak hisap rokok yang berkait dengan syarikat berkepentingan Israel sebab kita hisap rokok buatan negara jiran (rokok seludup). Tetapi kita lupa menghisap rokok bukan perlakuan nabi dan siapa yang mencetuskan idea merokok? Tidak menjatuhkan perokok tetapi anda masih berupaya untuk berubah.

Jikalau kita berkehendak untuk memboikot google ataupun youtube (dalam konteks yang lebih besar ialah internet) kita persoal dalam diri kita, adakah Islam ini agama yang sempit? Jawapannya tidak. Kita yang menyempitkan ia. Cuba kita manipulasi apa yang kita ada ini lebih untuk menyebarkan kefahaman untuk Islam dan bukan memasukkan tangan kedalam poket dan berpeluk tubuh. Itu adalah sebenar-benar perjuangan.

Akhir kata, jadilah Muslim yang kritis dan kreatif dalam setiap perlakuan kita. Jangan kita sempitkan apa yang ada dalam dunia ini. Sebarkan dan sampaikan dalam keadaan yang lebih bermakna dan berkesan. Semoga bila kita ditanya kelak oleh Allah, diharapkan anggota kita dapat menjawabnya. Segala yang baik dari Allah dan yang buruk itu atas kelemahan saya sendiri.

Sudut Pemikiran: Osman.Z


Pengakhiran Yang Baik Untuk Kita Semua

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah dapat menghabiskan hasil karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin iaitu Travelog Minda Tajdid. Mungkin buku ini sudah lama berada dipasaran namun kesempatan kelapangan masa ini baru saya mendapat peluang membacanya. InsyaAllah saya akan menulis review buku ini pada penulisan akan datang.

Mengapa saya terdetik menulis kali ini ialah disebabkan termotivasi menonton video Rahsia Penulisan oleh Hilal Asyraf. Banyak tips yang diberikan beliau yang saya akan jadikan panduan dalam perjalanan menjadi seorang penulis (Jika diizinkanNya). Cuma saya katakan video yang baru saya tonton sebentar tadi menggerakkan hati saya untuk terus berkongsi pendapat saya yang tidak seberapa ini. Namun penulisan kali ini bukan berkaitan Hilal Asyraf tetapi menjurus kepada subtopik dalam buku Travelog Minda Tajdid iaitu Jangan Lebih Lajak Dari Laju.

Jujur saya katakan setelah pembacaan bagi subtopik ini saya tersentak. Terkesima. Terdiam. Terpaku. Membuatkan saya berfikir panjang.

"Di sebalik itu, orang yang zahirnya beramal dengan amalan agama pada zahirnya dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas ataupun riak, ataupun ada tujuan tersembunyi. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak ataupun tawaduk, tauhid ataupun syirik. Semua faktor ini akan mengheret pelakunya ke neraka".
(Travelog Minda Tajdid: Dr. MAZA)
Saat saya hendak menulis kali ini membuatkan saya berfikir panjang. Jujur latar belakang saya bukan mahir dalam bab-bab agama, saya jahil dan apa yang saya cuba katakan saya hanya sedang belajar dan masih belajar. Kadangkala saya takut saya tidak layak untuk menulis ini semua, cuma niat saya hanya hendak berkongsi dengan anda yang sudi meluangkan masa membaca penulisan saya. Alhamdulillah, dalam masa yang sama Allah hadirkan seorang sahabat yang sudi mengajar saya perkara penting iaitu mengaji al-Quran. Kepada anda sahabat, hanya Allah dapat membalas semua yang anda sumbangkan kepada saya.

Berbalik kepada penulisan ini, saya tergerak menyatakan setiap dari kita pernah melakukan kesilapan. Mungkin saat anda membaca penulisan saya kali ini anda telah berhijrah ke arah kebaikan. Tetapi cuba kita lihat disekeliling kita, permasalahan, sikap sambil lewa terhadap agama dan keruntuhan ahlak seakan tiada penghujungnya. Apa peranan kita?

Ya perlakuan yang salah itu tetap salah. Namun kita tidak berhak menafikan rahmat Allah kepada mereka. Jika ada rakan, kenalan, saudara atau orang berdekatan kita melakukan suatu yang bercanggah dengan nilai norma Islam yang sebenar. Jangan kita pandang sinis kepada mereka. Siapa tahu saat mereka sering kali melakukan kesilapan itu,  Allah cetuskan perasaan ingin kembali kepadaNya dan dia sempat bertaubat. Kita? Hanya memandang sinis dan merasakan diri ini hebat dan menyebabkan kita masuk ke perangkap musuh kita syaitan yang berjanji akan datang kepada kita dari pelbagai arah yang lain untuk menyesatkan kita.

Adakah kita mahu melihat mereka yang kita sayang ini terus menerus melakukan kesilapan sedangkan kita sedar kita mampu menegurnya? Saya pernah mendengar seorang ustaz menyatakan di akhirat kelak nanti kita tetap akan ditarik oleh mereka-mereka yang melakukan kesilapan ini. Hanya kerana kita tidak pernah mengajak, menegur malah mendekati mereka yang melakukan kesilapan ini.

Ada masa kita nasihatkan, dekati dan doakan agar dia meninggalkan kesilapannya. Setidak-tidaknya dia mengurangkan kesilapan itu. Semoga kita juga tetap dalam perjalanan hidup ini.

Akhir kata dari saya jangan kita pandang sinis mereka yang melakukan kesalahan itu. Kerana kita juga pernah melakukan kesalahan. Penuhi saat-saat yang berbaki dalam hidup ini untuk membimbing dan dibimbing kembali mendekatiNya. Semoga pengakhiran yang baik buat kita semua.

Sudut Pemikiran: Osman.Z

Thursday 20 September 2012

Angka Kita Semakin Kecil Nilainya

Assalammualaikum w.b.t...

Alhamdulillah saya masih diberi peluang olehNya untuk menulis di ruang ini. Kita masih diberi detik demi detik untuk melihat, merasa, menyentuh, mendengar dan menghayati apa yang ada dalam dunia ini buat seketika yang tidak diketahui sampai bila.

Siapa tahu dalam beberapa saat lagi Allah jemput kita semula. Mungkin saat ini merupakan detik terakhir kita, esok kita tidak bangun seperti biasa. Esok kita tidak bermain seperti biasa, esok kita tidak makan seperti biasa dan mungkin esok kita tidak dapat lagi beribadah kepadaNya.



Sedang kita alpa saat kita akan dijemput semula kembali kepadaNya. Kita sering tertanya adakah kita sudah cukup bersedia untuk menghadapNya?

Saat soal solat lima waktu entah dimana, hidup cuma sekadar bersuka ria, menimbun-nimbunkan harta, meng'halal'kan yang haram dan sebagainya. Kita sebenarnya tidak lebih sekadar angka. Kita semakin berkurang dan kita semakin hampir kepadaNya. Namun dalam semakin hampir sebenarnya kita tidak berusaha untuk dekatiNya sebaliknya kita ingkar.

Saya ingin memohon ampun maaf bagi yang mengenali diri ini andai ada salah silap saya sepanjang hayat saya hingga ke saat ini dan seterusnya (jika diizinkan Allah). Saya mungkin tidak mampu memperbetulkan kesilapan saya terhadap kalian, saya cuma mengharapkan kemaafan dari semua. Semoga kita bertemu dan berpisah kerana Allah.

Sudut Pemikiran: Osman.Z


Wednesday 19 September 2012

Review: Sebelum Aku Bernikah oleh Hilal Asyraf

Assalammualaikum w.b.t..

Alhamdulillah selesai sudah dua perkara penting iaitu pembentangan kajian dan rekacipta. Maka ruang-ruang masa tersebut saya cuba selitkan dengan menghabiskan bacaan hasil penulisan seorang penulis yang saya baru kenali dan ikuti iaitu Hilal Asyraf. Mesti anda semua lebih mengenali beliau dari saya kan. Secara jujurnya saya tidak mengenali siapa Hilal Asyraf ini sebelum ini. Bermula satu post di facebook mengenai karya beliau merupakan titik tolak saya tergerak mencari buku beliau ini.

Penulisan saya kali ini ingin berkongsi pandangan saya terhadap buku terbaru beliau yang hangat di pasaran iaitu Sebelum Aku Bernikah.


Bagi saya buku ini amat sesuai bagi pembaca khususnya golongan muda yang mula mencari rentak-rentak kehidupan dan ke arah peralihan status (bujang kepada berkahwin). Maksud saya bukan hanya mereka yang sedang dilamun perasaan cinta (dalam konteks Islam) namun sesuai bagi mereka yang merasakan diri ini perlu kembali kepadaNya. 

Susunan jalan cerita yang menarik diselitkan kata-kata dan hujah serta pandangan yang bernas merupakan antara kekuatan buku ini. Ada juga unsur kecindan yang membuatkan saya tergelak besar apabila penulis menceritakan bagaimana perasaan beliau ketika di'reject' gadis yang kini menjadi isteri beliau. Nak tahu anda kena beli dan dapatkan buku ini.

Penulis juga menjelaskan permasalahan sebenar manusia dalam memahami dan menghayati perasaan cinta juga banyak membuka persepsi jumud saya  sebelum ini. Jadi kena hayati dan fahami dengan jelas apa itu cinta. Jangan hanya pandai bermadah pujangga, menyanyikan lagu cinta, romatika namun bila ditanya mengenai konsep cinta sebenar kita diam seribu bahasa dan hanyut dalam kepalsuan akibat kurangnya pengetahuan kita. Kalau kita sayangkan seseorang adakah kita akan mengheret dia bersama ke neraka? Itu antara persoalan yang diutarakan penulis dalam buku beliau ini.

Penulis menekankan bahawa betapa pentingnya persediaan yang rapi dari aspek rohani, emosi dan material yang perlu sebelum memikirkan kemampuan berkahwin itu sendiri. Ini sangat menarik kerana bila sebelum berkahwin sanggup berjanji sehidup semati, sedangkan di mulut naga akan ku rampas jua, ku genggam bara menjadi abu, dalam hatiku hanya ada dirimu (puihhhhh..maaf tidak sopan pula) tetapi bila disebut persediaan. Langsung tiada, jadinya baik bercinta dengan tiang lampu. Oleh yang demikian penulis mengutarakan pendapat beliau yang bernas dalam persediaan ini.

Penulis juga menjelaskan konsep cinta sebenar dalam konteks Islam. Penulis menceritakan pengalaman beliau bertunang selama dua tahun dan bagaimana penulis dan pasangan menjaga batasan masing-masing dan tetap dengan pendirian. Perasaan ini fitrah semulajadi, bagaimana kita mengawalnya itu kunci sebenar yang perlu kita fahami.

Kesimpulannya saya berpendapat buku ini amat sesuai untuk dimiliki dan dihayati oleh pembaca khususnya lelaki. Ini adalah kerana tanggungjawab lelaki lebih besar, sekiranya tiada persediaan yang rapi berkemungkinan akan goyah di pertengahan jalan. Bagi saya buku ini setaraf dengan hasil karya Fatimah Syarha iaitu Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul. Jujur buku ini harus anda miliki.

Sekian perkongsian saya dalam penulisan kali ini. Yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu atas kelemahan saya ini.

Sudut Pemikiran: Osman.Z

Monday 17 September 2012

Tunjuk dan sebarkan dengan berkesan

Assalammualaikum w.b.t

Sebelum saya mulakan dengan perkongsian pendapat saya kali ini. Saya ingin bertanya pembaca mengenai sebuah filem (filem ke?) yang bagi saya 'sampah' iaitu "innocence of muslims". 

Apa pendapat anda berkenaan filem berkenaan? Adakah marah? Tidak puas hati? Atau berlepas tangan?

Bagi saya kalau kita cintakan agama Allah ini iaitu Islam dan Nabi Muhammad S.A.W junjungan mulia kita. Kita wajar menyatakan ketidakpuashatian kita. Kalau kita tiada perasaan tersebut mungkin ada sesuatu yang tidak kena dalam diri kita ini. Tetapi dalam konteks bagaimana kita menunjukkan protes kita?

Jadinya adakah kita bertindak sehingga menimbulkan keganasan itu menunjukkan kita membawa mesej Islam adalah agama yang paling relevan di muka bumi Allah ini? Pendapat saya yang biasa ini, api bukan lawan dengan api..Tetapi api lawannya air. Bagi saya filem 'sampah' ini ibarat satu perangkap. Setuju atau tidak?

Mulai saat ini. Buka semula, kaji lebih mendalam, pelajari, sampaikan, sebarkan dengan berkesan mesej-mesej Islam yang sebenar. Cuba bayangkan sekiranya Nabi Muhammad S.A.W masih lagi hidup bersama dengan kita, adakah baginda menyokong keganasan kita?

Pernah ada satu kisah dimana seorang wanita Yahudi memberikan kepada baginda buah (buah apa saya terlupa). Baginda memakan buah tersebut dahulu, kebiasaan baginda akan memberikan kepada para sahabat disekelilingnya. Namun kali ini agak pelik apabila baginda terus memakan sehingga habis kesemua buah tersebut. Riak wajah baginda hanya senyum dan menikmati buah tersebut. Seusai habis memakan buah tersebut, wanita tersebut pun berlalu pergi dengan keadaan yang sedih. Para sahabat pelik dengan tindak tanduk baginda ketika itu. Kemudian baginda menceritakan bahawa buah yang diberikan adalah tersangat masam, baginda takut para sahabat akan membalas kepada wanita tersebut. Cuba lihat bagaimana baginda mengawal keadaan supaya tidak menjadi lebih teruk sedangkan wanita tersebut ingin menghina dan membuatkan baginda marah. Itu yang menyebabkan wanita tersebut sedih kerana niat jahatnya gagal.

Malahan ada perkara yang lebih hebat dialami baginda. Baginda dibaling batu, baginda dibaling najis, baginda diugut bunuh. Namun bagaimana respon baginda?

Jadinya disini saya ingin berkongsi bahawa bagaimana perlu bertindak balas dengan filem 'sampah' tersebut.

Kita kembali kepada jalan Islam yang sebenar. Cuba lihat bagaimana kita sepakat protes, bantah, berkumpul dan pegang sepanduk terhadap apa yang ditayangkan dalam filem tersebut tetapi yakinkah kita akan istiqamah terus menerus protes dengan cara tersebut? Saya percaya tidak sebab kebanyakan kita akan senyap, sepi dan lupa termasuk diri saya sendiri. Jadinya disini cuba hasilkan sesuatu yang beterusan dan dapat dikongsi secara global supaya setidak-tidaknya kita mencetuskan semangat insan lain untuk kita bersama menyebarkan mesej yang sebenar.

Kita boleh buat filem pendek menunjukkan keindahan Islam sebenar.

Kita boleh share di facebook apa-apa yang berkaitan dengan keindahan Islam sebenar.

Kita boleh buat lagu yang bersifat Islamik.

Kita boleh hasilkan gambar atau poster yang menunjukkan keindahan Islam sebenar.
Kita boleh hasilkan blog penulisan terutamanya bahasa Inggeris supaya ramai dapat membaca walau dari pelbagai pelusuk bangsa dan agama.
Kemudian kita sebarkan secara global. Zaman sudah berubah, internet juga medium dakwah kita. Teringat semasa saya buka simen kaki di HUSM, seorang doktor pelatih bertanya soalan yang agak sukar kepada doktor pakar di situ. Jawapan doktor tersebut " Do you know the word internet? Utilize it. How can I focus on my patient and at the same time you always asking me?" Adakah kita semua nampak bahawa internet merupakan nadi penyampaian ilmu pengetahuan secara global.

Banyak lagi yang mungkin pembaca lebih arif bagaimana kita boleh respon kepada filem 'sampah' tersebut. Seperti yang saya kongsikan di atas tadi, banyak jalan dan ruang yang lebih indah menunjukkan keindahan, kebenaran Islam yang sebenar. Ingat api tidak boleh lawan dengan api kerana ia akan lebih marak lagi. Tetapi api lawannya air.

Ampun dan maaf dipinta sekiranya penulisan saya ini tersasar. Saya mohon pandangan dan kritikan dari anda semua. 

Sudut Pemikiran: Osman. Z

Friday 14 September 2012

Artis atau Tokoh Ulama??

Assalammualaikum. w.b.t

Alhamdulillah saya dapat meluangkan masa menulis untuk kali yang kedua bagi blog saya ini. Sedang saya duduk dan santai ber'online' (maaf istilah tidak sesuai). Pemikiran saya tertumpu kepada satu perkara ini. Mengapa kita terlalu mengikuti gaya artis tetapi kita tidak pernah cuba mengikuti gaya tokoh dan ulama sekeliling kita?

Saya ada menonton satu video ini oleh Ahmad Deedat (rhm). Mesti anda pernah dengar malah lebih mengenali beliau. 


Ada satu perkataan oleh beliau sampaikan sehingga memberi kesan kepada saya.

I can see spineless people !!
I can see emasculated people !!
I can see castrated people !!

You have no will, no energy, no militancy

You are easy meat..Easy meat..

Tahukah anda Ahmad Deedat di pengakhiran hayat beliau telah diserang strok sehingga menyukarkan beliau bercakap atau menelan sesuatu. Tetapi beliau belajar menggunakan isyarat mata untuk berkomunikasi. Sembilan tahun terakhir beliau masih lagi berdakwah walaupun di atas katil dan hanya menggunakan isyarat mata. Allahu Akbar. Sungguh kecintaan beliau terhadap dakwah sangat tinggi sehingga ke tahap tersebut.

Kita tidak gemar berkongsi apa-apa berkaitan beliau atau video perjuangan beliau.Malahan bukan beliau sahaja tetapi sesiapa sahaja. Kita bangga berkongsi di facebook video-video artis, ungkapan-ungkapan murahan cinta malahan benda yang tidak membawa nilai tambah kepada kita sebagai seorang Islam. Tidak mengapa kerana manusia cenderung kepada hiburan tetapi ingat jangan sampai jadi najis bak kata Ustaz Azhar Idrus.

Tetapi secara jujurnya saya tidak mengkritik mereka yang bersifat artistik kerana saya juga ada rakan artis (sudah memiliki album dan pernah menyumbangkan hasil jualan album kepada rumah anak yatim kalau tidak silap). Cuma saya tidak berminat golongan-golongan artis yang tiada mesej yang baik dalam karyanya dan hanya tertumpu kepada perkara- perkara yang merugikan. Bait-bait kemaksiatan digabungkan jadi mana nilai seninya?  Semoga anda kembali ke jalan yang benar.

Baru-baru ini ada artis wanita yang agak glamour hingga pernah diberikan peluang dalam rancangannya sendiri di Astro. Saya tidak bangga kerana anda adalah Islam dan anda tidak mebawa mesej kebaikan ataupun Islam itu sendiri. Baru-baru ini dia diberi peluang dalam pembukaan majlis syarikat gergasi arak. Walaupun dia tidak terlibat (katanya) tapi dia terlibat dengan yang berkaitan dengan arak. Salah atau betul? Saya tidak akan respek pendirian artis tersebut

Ayuh kita berubah. Saya menulis juga untuk memberikan peringatan dalam diri saya supaya saya dan kita semua tetap kekal dalam perjalanan hidup yang penuh tipu daya ini. Semoga kita kekal dalam lindungan rahmat Allah. InsyaAllah.

Jangan kita cemuh mereka yang terdorong kepada hiburan dan kelalaian tetapi kita bimbing dan doakan yang terbaik untuk mereka. Semoga pengakhiran yang baik bagi kita dan mereka. InsyaAllah.

Tuesday 11 September 2012

Kita Akan Hebat Jika ...??? (Budaya Kerja)

Assalammualaikum w.b.t...

Alhamdulillah ini merupakan blog kedua yang saya cuba hasilkan. Jika blog sebelum ini iaitu sukasukikakikayuh.blogspot.com yang banyak santai sahaja. Kali ini saya cuba menghasilkan satu blog yang lebih kepada kematangan penulisan dan pemikiran saya. InsyaAllah. Saya mengharapkan respon dan kritikan oleh pembaca.

Penulisan saya pada kali ini ingin memberikan satu pandangan yang tidak seberapa dari sudut pemikiran saya. Bermula dengan tajuk iaitu Kita Akan Hebat Jika ...???akan saya utarakan pemikiran saya menjurus dalam konteks budaya kerja.

Adakah kita hebat jika kita Melayu di bumi Melayu? (bagi pembaca berbangsa Melayu) Tidak sama sekali. Kerana apa? Kerana kita haprak jika tiada Islam dalam hidup kita. Jika kita lahir dalam keluarga Islam dan dalam surat beranak sudah tertulis Islam seterusnya dalam kad pengenalan tertera Islam namun tiada satu titik pun kita mengekalkan malah menambahbaik kita sebagai seorang yang beragama Islam. Jadinya kita haprak malah lebih teruk berbanding orang bukan Melayu yang baru mengenali, mempelajari dan memeluk Islam. Melayu itu bangsa dan Islam itu pegangan, bimbingan, ikatan dan kebahagiaan yang sebenar.

Saya pernah mendengar satu penceritaan oleh pensyarah saya suatu ketika dahulu. Pensyarah saya mengatakan bahawa terdapat satu kilang yang dimiliki oleh warga Jepun dan didirikan di Malaysia. Secara majoritinya, pekerja berbangsa Melayu merupakan tenaga kerja paling ramai di kilang tersebut. Suatu hari pemilik kilang (warga Jepun) ini melihat bahawa pekerjanya sambil lewa terhadap masa dan waktu rehat untuk solat tidak digunakan untuk solat tetapi sebaliknya, masuk kerja lewat dan sebagainya (masalah sebenar bangsa kita). Jadi apa yang dilakukan oleh pemilik tersebut? Pertama keluar ayat dari mulut beliau iaitu "jika masa dengan Tuhan pun mereka tak jaga, bagaimana masa dengan manusia mereka akan jaga?". Oleh yang demikian pemilik tersebut melakukan satu transformasi drastik supaya dijalankan program kerohanian untuk mengubah sikap pekerjanya. Lihat individu bukan Islam melihat Islam sebagai panduan hidup tapi kita sekadar nama menitip dibibir. Semoga kita diberikan kesedaran untuk berubah.

Dimana silapnya budaya kerja kita. Realiti atau Retorik? Saya ingin berkongsi mengenai satu buku yang saya gemari dan amat tertarik iaitu Biografi Muhamad S.A.W menyatakan salah satu ciri-ciri nabi junjungan kita Muhamad S.A.W ialah berjalan pantas. Walaupun penulis tersebut menyatakan ciri-ciri berjalan pantas namun cuba kita intepretasi ke sudut pemikiran dan perspektif yang berbeza. Apa makna berjalan pantas dalm konteks pemikiran saya? 

Pertama saya merasakan dalam setiap perkara dan tindak tanduk kita perlu progresif dan proaktif. Maksudnya disini kita perlu memiliki perancangan berkesan, jangkaan kesan atau masalah yang timbul dan bagaimana mengatasi permasalahan tersebut.   Tanam dalam hati kita, perkara yang baik insyaAllah Dia akan kabulkan dan sebaik-baik perancang adalah Dia. Biar kita memikirkan 5 tahun dari sekarang atau lebih kerana itu lebih baik berbanding tiada perancangan langsung.


Kedua elakkan bertangguh. Bertangguh merupakan suatu sikap yang menyebabkan kita semakin ketinggalan sedangkan dalam Azan sendiri menyatakan marilah menuju kejayaan tetapi kita bertangguh menuju kejayaan. Trivia: Siapakah yang antara dalam golongan yang diberikan penangguhan oleh Allah? Jawapan ada dalam Surah Al-A'raaf ayat 14 -17.

 

Ketiga ialah dalam patuhi keperluan tugasan. Saya pernah dikritik kerana saya cuba push seseorang untuk siapkan kerja dalam masa yang dikehendaki. Kerana bagi saya siap awal maknanya kita cukup masa untuk menambahbaik sedikit sebanyak. Saya faham kalau ada diantara kita mengatakan bahawa belajar IPG keluar pun akan jadi cikgu. Saya setuju namun ia menunjukkan tahap pemikiran kita sebenar. Tapi dimana kepuasan kerja kita?


Sekiranya ini berlaku kepada anda diluar sana, apa yang akan anda lakukan? Satu nasihat dari saya ialah kita bergerak dengan mereka yang seiring dengan kita, jika mereka tertinggal kita sokong dan bantu namun sekiranya mereka menolak dan mengkritik kita terima dengan hati yang terbuka.

Oleh yang demikian, saya mengutarakan bahawa kita akan hebat jika Islam yang sebenar merupakan pegangan hidup kita. InsyaAllah. Semoga apa yang saya tulis ini menjadi suatu titik tolak perubahan kita.

Sudut Pemikiran: Osman.Z