Tuesday, 27 November 2012

K.E.P.U.T.U.S.A.N

Assalammualaikum w.b.t

Alamak sudah bersawang nampaknya blog ni. Macam mana nak jadi penulis ni kalau tidak boleh nak konsisten kan. Emm.. (kena sebijik atas dahi)

Sepanjang bergelar pelajar yang sudah menamatkan pengajian ini, saya merasakan ia adalah hari-hari yang berlalu dengan sangat lambat dek kewangan yang agak mencemaskan. Hehe. Kena usaha lebih ni kan.

Hendak dijadikan cerita penulisan kali ini berkait dengan pemikiran saya yang berkisar mengenai keputusan.

Mengapa K.E.P.U.T.U.S.A.N ?

Apa keputusan yang kita buat dalam tempoh masa sebulan dua ini?

Mungkin ada yang membuat keputusan untuk mengakhiri zaman bujang dan ada yang mula ke arah itu dengan mengikat tali pertunangan.

Mungkin ada yang membuat keputusan untuk bekerja untuk mengisi kekosongan masa yang ada dalam penantian untuk ditemuduga.

Mungkin ada yang mengambil langkah progresif dengan memulakan perniagaan.

Mungkin ada yang mula bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan untuk menginfaqkan diri, tenaga dan harta melakukan amal.

Mungkin dan banyak lagi kemungkinan dalam membuat sesuatu keputusan. Ia merujuk kepada apa keputusan yang telah kita buat.

Langkah Awal

Sebelum kita ingin membuat sesuatu keputusan. Cuba kita ambil masa untuk menyenaraikan matlamat utama kita dan kemungkinan perkara atau permasalahan yang timbul.

Kemudian dari jangkaan permasalahan tersebut, kita cuba senaraikan seberapa banyak langkah untuk mengatasinya. Ia sememangnya rumit namun langkah ini sangat penting untuk persediaan pada masa hadapan.

Bak kata omputih. It's better to think first than just jump from the sinking boat.

Oleh yang demikian, bermula dengan saat ini. Yakin dengan setiap keputusan yang telah kita buat dan jika ada suara sumbang yang seakan meruntuhkan semangat kita. Anggaplah ia seakan tembok kecil dalam keputusan tersebut. Bertindaklah dengan penuh ketertiban dan perancangan yang rapi. InsyaAllah akan dipermudahkan olehNya.

Dan yang paling penting ingatlah setiap keputusan yang kita pilih, Allah adalah sebaik-baik Perancang dan Penentu keputusan itu. Kerana Dia Maha Mengetahui akan tiap sesuatu. ^____^

Sudut Pemikiran: Osman.Z


Tuesday, 6 November 2012

I'm in L.O.V.E : Becoming a Murabbi

Assalammualaikum w.b.t

Penulisan kali ini tulus ikhlas kepada mereka-mereka yang sudah menghabiskan masa lima tahun setengah bergelar seorang pelajar atau pelatih.

Mesti semua sudah berseri-seri kan. Almaklumlah ada yang sudah mula berkira-kira hendak mendirikan masjid, ada yang sudah mula berkira-kira mengumpulkan aset dan berbagai lagi. Selamatlah hendaknya ye. InsyaAllah semoga Allah permudahkan perjalanan kita semua.

Tetapi semestinya ramai diantara kita yang sedih, sayu, dan berat hati untuk meninggalkan tempat ini. Bahkan masa ini setiap masa bersama rakan adalah masa yang paling berharga. Itulah perasaan hari-hari terakhir sebagai abang dan kakak semester lapan.

Saya teringat kata-kata sahabat saya suatu ketika dahulu "jangan membenci tempat kita menuntut ilmu". Buat apa kita nak benci dengan tempat kita menuntut ilmu. kalau kita benci maknanya kita benci apa yang Allah takdirkan dalam diri kita. Betul? Sebab Allah sudah tetapkan perjalanan kita ini.

Maka, ubah pemikiran kita.



I'm In L.O.V.E

Mengapa, kenapa dan sebab apa saya katakan I'm in love? Bukan jiwang beb. 

Cuba kita putar masa, kita undur semula. Berapa ramai niat dan betul-betul berniat hendak menjadi pendidik? Sila angkat tangan.

Tidak perlu tuding jari kepada sesiapa. Jujur saya sendiri menyatakan bahawa menjadi pendidik adalah pilihan kedua. Namun perjalanan sepanjang lima tahun setengah ini telah membuka hati dan kecintaan untuk menjadi pendidik. Itulah yang dikatakan I'm in love.

Kalau kita jatuh cinta semestinya bermula dengan perasaan suka kan. Cuma yang istimewa kecintaan ini, ia tidak dimulakan dengan perasaan suka. Cantik bukan perjalanan yang Allah aturkan untuk kita.



Becoming a Murabbi

Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.
 [sumber: wikipedia]

Kita baru sahaja akan memulakan tugas ini. Kita perlu berkhidmat puluhan tahun. Adakah kita sekadar untuk menjadi guru biasa? Semestinya tidak.

Oleh yang demikian, kita fahami dan hayati konsep Murabbi. InsyaAllah akan dipermudahkan segalanya.

Teringat dahulu perkongsian oleh Dr. Zailah Zainudin.

Jadikan mengajar itu satu ibadah dengan mengamalkan 6i ini.


Ikhlas
Ihsan
(i yang hilang = tekun)
Isytihad (bersungguh-sungguh)
Isytimaq (kolaboratif)
Istiqamah (konsisten)
 #Saya kehilangan satu i tersebut, mohon tolong tambahkan ye. (Kalau silap tolong betulkan, saya tidak berapa pasti. Almaklumlah penguasaan Bahasa Arab saya yang lemah)

Biarlah keikhlasan dalam menghayati konsep Murabbi ini memberikan nilai tambah dalam menjalankan amanah yang dipikul. Semoga ia dinilai oleh Allah kelak.

Penutup Bicara : Ia Adalah Amanah




Menggalas amanah sebagai murabbi ini sangat besar dan bukan perkara yang boleh dipandang sebelah mata. Kelak kita akan dipersoalkan tentang apa yang kita kerjakan dalam menggalas amanah ini. Semoga setiap dari kita menetapkan mindset kita ia adalah amanah. InsyaAllah.


 


Mengakhiri penulisan saya yang tidak seberapa ini. Saya ingin memohon ampun maaf andai saya ada melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada secara sedar atau tidak. Kalau ada yang terhutang dan terambil. Saya memohon ia dituntut dan dihalalkan. Semoga Allah permudahkan perjalanan kita semua.

Semoga Allah permudahkan perjalanan kita dalam memahami dan menghayati konsep Murabbi dalam diri kita.

Sudut Pemikiran : Osman.Z

Saturday, 3 November 2012

Puisi Buat Diri Yang Mengharap Cinta Ilahi

Alhamdulillah saya berjumpa satu bahan bacaan yang antara paling menarik pernah saya baca.


Mungkin ramai dari kalangan pembaca lebih mengenali buku atau majalah ini. Saya beranggap ia pembelian yang sangat berbaloi kerana harganya cuma RM7. Tidak rugi untuk dimiliki. Saya sekadar berkongsi bahawa bahan bacaan ini sangat berbaloi. Selamat memiliki.

Saya ingin mengetuk kotak pemikiran kita. Apa kita fahami mengenai cinta?

Cuba pembaca cari sekeping kertas kecil dan tulis apa yang pembaca faham mengenai cinta kemudian kalau baik hati boleh post semula diruangan komen dibawah. Saya mengharapkan respon pembaca.

Cinta Membawa Kepada Kebahagiaan

Ibnu Qayyim ada mengungkapkan:

Cinta itu tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan daripada mengingati Allah dan menjauhkan daripada cintaNya.

Berapa ramai dalam kalangan kita apabila menjamu juadah yang sangat enak tiba-tiba terhenti dan terdetik dalam dirinya. "Ya Allah bagaimana saudaraku di Palestine, di Syria, di Myanmar dan sebagainya. Adakah mereka dapat memenuhi perut mereka dengan makanan atau tidak. Ampuni dosaku dan saudaraku Ya Allah".

Berapa ramai dalam kalangan kita apabila melihat seorang buta yang membawa tongkat dan meminta bantuan dari orang ramai yang kemudiannya merenung kembali diri. "Ya Allah, aku ada mata dan dia ada mata. Tetapi aku merasa nikmat melihat namun dia tidak merasanya. Aku melihat perkara yang tidak baik namun dia terselamat untuk tidak melihat perkara yang tidak baik. Ampuni aku Ya Allah, aku melampaui batasanku".

Ia soal cinta. Mengapa saya katakan cinta? Kerana apabila kita merasakan cinta kepada sesuatu, setiap detik kita akan ingat dengan sesuatu itu.

Betul atau tidak?

Cuba kita lihat mereka yang kecintaan kepada Pemilik Cinta yang sebenar Allah yang menciptakan semua ini. Setiap saat setiap detik mereka akan cuba mentarbiah, muhasabah, dan reset kembali diri. Supaya diri mereka tidak menjauhi Allah. Saat sedih ingat Allah bahkan saat bahagia masih ingat Allah. Ia adalah cinta membawa kepada kebahagiaan.

Puisi Buat Diri Yang Mengharap Cinta Ilahi


Pesanan buat diri, 
Pesanan buat hati,
Adakah semakin mendekatiNya demi sebuah cinta Ilahi.

Bagaimana kondisi Iman hari ini,
Memang benar baik itu sukar malah istiqamah kekal baik itu lagi sukar,
Memang benar hijrah akan mencetuskan keterasingan,
Saat ramai masih bergelumang dengan lumpur keduniaan,
Demi cinta Ilahi akan dikorbankan semua ini.

Diri oh diri jangan menjauh dari cinta Ilahi,
Diri oh diri jangan pergi menuju cinta Ilahi seorang diri,
Sahut, sebut, seru saudaramu yang masih dalam lumpur keduniaan,
Semoga jaringan transformasi ini mengilhamkan pengakhiran yang baik buat jutaan diri.

Aku mengharapkanmu saudaraku dan aku cuba membawamu saudaraku,
Ayuh kita transformasi diri menuju cinta Ilahi.


Penutup Penulisan

Saya berharap penulisan ini mencetuskan perubahan dalam diri kita semua. Dekati dan bimbing mereka di sekeliling kita. Semoga setiap dari kita merasaai kemanisan terhadap cinta Ilahi ini.

Ampun maaf dipinta penulisan yang tidak seberapa ini.

Akhir kata dapatkan majalah Gen-Q, memang tidak rugi. Sementara masih berada dalam pasaran.

Sudut Pemikiran: Osman.Z