Assalammualaikum w.b.t
Penulisan saya pada kali ini tergerak setelah saya terbaca satu artikel apa yang berlaku di Pakistan. Artikel ini dalam bahasa inggeris (mungkin ada beberapa istilah yang saya tidak dapat tangkap) menceritakan apa yang berlaku kepada gadis-gadis yang ada dirogol oleh lelaki Muslim (dalam artikel tersebut) dan hukuman 'zaman batu' berdasarkan prinsip-prinsip tradisi yang primitif di negara tersebut. Penulisan saya kali ini tidak berkisar mengenai situasi ini kerana saya perlu melakukan pembacaan dan kajian sebelum saya merungkai isu tersebut. Sebab saya takut saya akan menyebarkan maklumat yang salah. Tetapi penulisan saya pada kali ini lebih kepada komen-komen pembaca yang bukan Islam terhadap Islam.
Mereka Tidak Kenal Islam Kerana Kita Tidak Mengamalkan Ajaran Islam Dengan Betul
Saya juga berasa agak sedih dan terkilan apabila membaca komen daripada pembaca artikel tersebut. Rata-rata mereka menyatakan perspektif negatif mengenai Islam. Tidak mengapalah kerana mereka bukan Islam. Mereka tidak didedahkan dengan kebenaran Islam oleh kita. Kita yang Islam ini yang dilahirkan di akhir zaman inilah yang perlu menyambung perjuangan ini. Bukan bila kita hanya memakai jubah, berserban, bertudung labuh baru merasa layak menyebarkan kebenaran mengenai Islam. Jangan fikir begitu, Islam ini mudah. Selagi kita tidak melangkaui batasan agama, bantulah, berjuanglah dan sebarkanlan demi agama Islam ini.
Cuba kita hayati terjemahan ayat di bawah ini:
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatupun) daripada sekalian mahluk.
(Surah Al-'Ankabut: Ayat 6)
Kita hidup di zaman yang diberi tempoh azabNya. Kalau Allah berkehendak menurunkan suatu azab nescaya kita tidak akan ada ruang masa dan tempat untuk untuk lari daripadanya. Hidup di dunia ini adalah tempat ujian kita sebelum hidup yang kekal selama-lamanya sama ada neraka atau syurga pengakhirannya. Kita berjuang untuk agamaNya sebagai ujian kita didunia ini. Jika Allah berkehendak menghapuskan mereka yang menentangNya, semua itu akan berlaku dalam kekuasaanNya tanpa sedikitpun bantuan hambaNya. Allah berkuasa atas tiap sesuatu.
Saat penciptaan manusia satu persoalan telah timbul;
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
(Surah Al-Baqarah: Ayat 30)
Allah lebih mengetahui sebab musabab kita diciptakan dibumi ini. Adakah kita hanya berfikir dunia ini adalah tempat untuk bersuka-ria, berseronok melampaui batasan, mengumpulkan harta yang tidak terhingga dan merasakan mati adalah pengakhiran segalanya? Tidak, dunia ini adalah tempat ujian kita sama ada kita lulus bagi fasa yang berikutnya.
Muslim Era Moden
Teringat kata-kata Sheikh Ahmed Deedat (rahimahullah) dalam satu ucapan beliau:
What's wrong with you? I say there's something wrong with you. You Muslims...
2 MILLION HERE...ALL like emasculated people..WALLAH!
I can see spineless people !
Emasculated people !
Castrated people !
you've got no spirit, no will, no energy, no militancy
Emasculated people !
Castrated people !
you've got no spirit, no will, no energy, no militancy
Salah siapa disini? Kalau kita baca, fahami, dan hayati al-Quran. Banyak ayat-ayat mereka yang mendustakan nabi yang menyeru mereka untuk menyembah Allah, Pencipta segalanya ini. Bahkan ada diantara mereka mempersendakan azab Allah. Itu yang pernah berlaku dahulu. Kini tidak mustahil kalau mereka yang bukan Islam ini mempersendakan, menghina dan memperkecilkan Islam keseluruhannya ini. Kerana kita yang Islam ini hanya indah dibicara kata namun jauh dari realiti sebenar.
Sekarang bukan masanya kita mengejar kemewahan, membina nama untuk dibangga-bangga dan memenuhi hawa nafsu ini dengan perkara yang sia-sia. Kita di akhir zaman yang penuh dengan fitnah.
Sampaikan dan sebarkanlah kebenaran dan keindahan agama ini kerana Allah. Kita tidak mampu untuk mengangkat senjata meletakkan nyawa kita berjuang FISABILILLAH (sedangkan pemuda pemudi Palestin rindu akan perkara ini, pemuda pemudi negara ini bagaimana?). Cuma kita perlu menegakkan dan menyebarkan agama ini dengan cara yang lebih kreatif. Tanam dalam hati kita semoga pengakhiran kita didunia ini syahid kerana Allah. Allahuma Zuqni Syahadah...Allahumma Zuqni Syahadah...Allahumma Zuqni Syahadah...
Jika kita amal dan tunjuk ajaran Islam yang sebenar, InsyaAllah mereka yang bukan Islam akan tertarik kepada kita dan mungkin mereka yang masih menghina, mempersendakan dan menjatuhkan Islam adalah yang masih tegar untuk menerima mesej Islam ini. Semoga kita tetap dalam perjalanan hidup ini.
Penutup Bicara
Kita bukan sekadar hidup dalam ruang lingkup masyarakat Islam sekeliling kita sahaja. Kita hidup dalam arus globalisasi yang memerlukan kita menjadi Muslim yang bersikap global tapi tetap berpegang pada ikatanNya. Gunakan, kuasai, dan aplikasi dengan berkesan teknologi dan internet supaya kita dapat amalkan, cetuskan semangat dan sebarkan mengenai Islam melangkaui ruang lingkup masyarakat Islam.
Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala yang buruk itu atas kelemahan diri saya ini. Semoga apa yang sampaikan ini InsyaAllah membawa nilai tambah dan kesedaran dalam kehidupan saya dan pembaca hendaknya. Ampun maaf dipinta. Andai ada salah dan silap mohon perbetulkan diri ini yang baru hendak belajar.
Sudut Pemikiran: Osman.Z
No comments:
Post a Comment