Sunday, 23 September 2012

Review: Travelog Minda Tajdid Oleh Dr. MAZA

Assalammualaikum w.b.t

Seperti mana yang dijanjikan saya akan review buku (bukan review sepenuhnya) yang baru sahaja dapat saya habiskan membaca hasil karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin iaitu Travelog Minda Tajdid. Buku ini sudah lama berada dipasaran (mula diterbitkan Nov 2011) kerana buku yang saya miliki ini merupakan cetakan yang keempat. Hampir setahun baru saya dapat memiliki buku ini. Mungkin review ini agak terlewat.

Ramai diantara kita mengenali siapa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. MAZA. Jika kita meluangkan masa mengikuti video-video dakwah beliau (sama ada versi penuh atau yang telah diedit), kita akan dapati idea-idea pemikiran beliau tegas dan tajam terhadap sesuatu isu. Saya berharap dalam hayat ini saya dapat bertemu dengan beliau suatu hari nanti. Semoga Allah makbulkan hajat ini.



Alhamdulillah buku ini seharusnya dimiliki. Kalau anda sudah memiliki buku ini, tahniah anda membuat satu pilihan yang bijak. Hasil karya Dr. MAZA ini merupakan garapan hasil penulisan penulis yang berkaitan dengan laman web minda tajdid beliau dan ada yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (kalau tidak silap)  merangkumi pelbagai konteks permasalahan kini. Buku ini juga merangkumi kisah sepanjang cuti sabatikal penulis di United Kingdom.

Banyak pendapat dan kritikan beliau di dalam buku ini dapat membuka minda kita. Saya agak tertarik dengan beberapa isu dalam buku ini dari sekecil-kecil isu sehingga isu yang bersifat global. Soal hukum hakam sehingga kepada konteks yang lebih luas. Dari sekecil-kecil isu yoga sehingga ke isu isu permasalahan masyarakat, isu Palestine dan sebagainya.

Antara isu yang diutarakan penulis amat menarik dan membuka minda untuk difahami dan dihayati seperti Salam untuk Perdana Menteri Baru, Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati, Jiwa 'Kehambaan' Melayu Mengahalang Perpaduan, Ulama ataupun Profesional Jadi Pemimpin dan Jangan Lebih Lajak daripada Laju. Hasip penulisan ini sesuai dengan kita yang berbangsa Melayu ini supaya dapat membuka kotak pemikiran kita supaya lebih bersifat global dalam sesuatu isu.

Idea dan pendapat yang pedas namun bertepatan dengan situasi sebenar dalam konteks yang lebih luas. Bagaimana kita ini yang hidup dalam zaman yang serba canggih dan penuh cabaran ini dapat mengeluarkan diri dari kotak pemikiran yang jumud. Zaman ini rata-rata antara kita banyak mengiakan berbanding mengkaji dan menegakkan yang benar.

Saya tidak dapat menceritakan keseluruhan hasil penulisan beliau kerana buku ini tidak terikat dengan satu-satu isu. Maknanya di sini konteks idea dan penulisan yang amat luas yang dapat membuka corak pemikiran kita. Maaf kerana tajuk di atas review tetapi seperti tidak direview buku ini. Saya memohon andai ada yang sudi mengajar saya bagaimana hendak mereview sesuatu buku.

Akhir kata buku ini antara pembelian yang berbaloi dan harga yang sangat berpatutan iaitu hanya RM 16 (kalau ada kad keahlian kedai buku lagi murah). Semoga buku ini dapat memberi satu nilai tambah dalam hidup ini yang penuh dengan pelbagai isu ini.

InsyaAllah buku yang berikut yang akan direview ialah buku yang mengambil masa paling lama hendak dihabiskan bacaan hasil karya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah iaitu Nasib Melayu Di Bumi Melayu. Buku ini merupakan terbitan tahun 2010. (InsyaAllah ada buku terbaru beliau yang saya lupa namanya dalam sasaran saya kini). Manakala dua buku hasil karya Prof Dr Muhaya dalam perjalanan diposkan setelah pembelian yang dianggap berbaloi iaitu satu buku termasuk kos hanya RM13.50 sahaja juga dalam perancangan untuk direview kelak. InsyaAllah.

Sudut Pemikiran: Osman.Z
 

No comments:

Post a Comment