Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah dapat menghabiskan hasil karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin iaitu Travelog Minda Tajdid. Mungkin buku ini sudah lama berada dipasaran namun kesempatan kelapangan masa ini baru saya mendapat peluang membacanya. InsyaAllah saya akan menulis review buku ini pada penulisan akan datang.
Mengapa saya terdetik menulis kali ini ialah disebabkan termotivasi menonton video Rahsia Penulisan oleh Hilal Asyraf. Banyak tips yang diberikan beliau yang saya akan jadikan panduan dalam perjalanan menjadi seorang penulis (Jika diizinkanNya). Cuma saya katakan video yang baru saya tonton sebentar tadi menggerakkan
hati saya untuk terus berkongsi pendapat saya yang tidak seberapa ini. Namun penulisan kali ini bukan berkaitan Hilal Asyraf tetapi menjurus kepada subtopik dalam buku Travelog Minda Tajdid iaitu Jangan Lebih Lajak Dari Laju.
Jujur saya katakan setelah pembacaan bagi subtopik ini saya tersentak. Terkesima. Terdiam. Terpaku. Membuatkan saya berfikir panjang.
"Di sebalik itu, orang yang zahirnya beramal dengan amalan agama pada zahirnya dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas ataupun riak, ataupun ada tujuan tersembunyi. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak ataupun tawaduk, tauhid ataupun syirik. Semua faktor ini akan mengheret pelakunya ke neraka".
(Travelog Minda Tajdid: Dr. MAZA)
Saat saya hendak menulis kali ini membuatkan saya berfikir panjang. Jujur latar belakang saya bukan mahir dalam bab-bab agama, saya jahil dan apa yang saya cuba katakan saya hanya sedang belajar dan masih belajar. Kadangkala saya takut saya tidak layak untuk menulis ini semua, cuma niat saya hanya hendak berkongsi dengan anda yang sudi meluangkan masa membaca penulisan saya. Alhamdulillah, dalam masa yang sama Allah hadirkan seorang sahabat yang sudi mengajar saya perkara penting iaitu mengaji al-Quran. Kepada anda sahabat, hanya Allah dapat membalas semua yang anda sumbangkan kepada saya.
Berbalik kepada penulisan ini, saya tergerak menyatakan setiap dari kita pernah melakukan kesilapan. Mungkin saat anda membaca penulisan saya kali ini anda telah berhijrah ke arah kebaikan. Tetapi cuba kita lihat disekeliling kita, permasalahan, sikap sambil lewa terhadap agama dan keruntuhan ahlak seakan tiada penghujungnya. Apa peranan kita?
Ya perlakuan yang salah itu tetap salah. Namun kita tidak berhak menafikan rahmat Allah kepada mereka. Jika ada rakan, kenalan, saudara atau orang berdekatan kita melakukan suatu yang bercanggah dengan nilai norma Islam yang sebenar. Jangan kita pandang sinis kepada mereka. Siapa tahu saat mereka sering kali melakukan kesilapan itu, Allah cetuskan perasaan ingin kembali kepadaNya dan dia sempat bertaubat. Kita? Hanya memandang sinis dan merasakan diri ini hebat dan menyebabkan kita masuk ke perangkap musuh kita syaitan yang berjanji akan datang kepada kita dari pelbagai arah yang lain untuk menyesatkan kita.
Adakah kita mahu melihat mereka yang kita sayang ini terus menerus melakukan kesilapan sedangkan kita sedar kita mampu menegurnya? Saya pernah mendengar seorang ustaz menyatakan di akhirat kelak nanti kita tetap akan ditarik oleh mereka-mereka yang melakukan kesilapan ini. Hanya kerana kita tidak pernah mengajak, menegur malah mendekati mereka yang melakukan kesilapan ini.
Ada masa kita nasihatkan, dekati dan doakan agar dia meninggalkan
kesilapannya. Setidak-tidaknya dia mengurangkan kesilapan itu. Semoga
kita juga tetap dalam perjalanan hidup ini.
Akhir kata dari saya jangan kita pandang sinis mereka yang melakukan kesalahan itu. Kerana kita juga pernah melakukan kesalahan. Penuhi saat-saat yang berbaki dalam hidup ini untuk membimbing dan dibimbing kembali mendekatiNya. Semoga pengakhiran yang baik buat kita semua.
Sudut Pemikiran: Osman.Z
No comments:
Post a Comment