Wednesday, 19 September 2012

Review: Sebelum Aku Bernikah oleh Hilal Asyraf

Assalammualaikum w.b.t..

Alhamdulillah selesai sudah dua perkara penting iaitu pembentangan kajian dan rekacipta. Maka ruang-ruang masa tersebut saya cuba selitkan dengan menghabiskan bacaan hasil penulisan seorang penulis yang saya baru kenali dan ikuti iaitu Hilal Asyraf. Mesti anda semua lebih mengenali beliau dari saya kan. Secara jujurnya saya tidak mengenali siapa Hilal Asyraf ini sebelum ini. Bermula satu post di facebook mengenai karya beliau merupakan titik tolak saya tergerak mencari buku beliau ini.

Penulisan saya kali ini ingin berkongsi pandangan saya terhadap buku terbaru beliau yang hangat di pasaran iaitu Sebelum Aku Bernikah.


Bagi saya buku ini amat sesuai bagi pembaca khususnya golongan muda yang mula mencari rentak-rentak kehidupan dan ke arah peralihan status (bujang kepada berkahwin). Maksud saya bukan hanya mereka yang sedang dilamun perasaan cinta (dalam konteks Islam) namun sesuai bagi mereka yang merasakan diri ini perlu kembali kepadaNya. 

Susunan jalan cerita yang menarik diselitkan kata-kata dan hujah serta pandangan yang bernas merupakan antara kekuatan buku ini. Ada juga unsur kecindan yang membuatkan saya tergelak besar apabila penulis menceritakan bagaimana perasaan beliau ketika di'reject' gadis yang kini menjadi isteri beliau. Nak tahu anda kena beli dan dapatkan buku ini.

Penulis juga menjelaskan permasalahan sebenar manusia dalam memahami dan menghayati perasaan cinta juga banyak membuka persepsi jumud saya  sebelum ini. Jadi kena hayati dan fahami dengan jelas apa itu cinta. Jangan hanya pandai bermadah pujangga, menyanyikan lagu cinta, romatika namun bila ditanya mengenai konsep cinta sebenar kita diam seribu bahasa dan hanyut dalam kepalsuan akibat kurangnya pengetahuan kita. Kalau kita sayangkan seseorang adakah kita akan mengheret dia bersama ke neraka? Itu antara persoalan yang diutarakan penulis dalam buku beliau ini.

Penulis menekankan bahawa betapa pentingnya persediaan yang rapi dari aspek rohani, emosi dan material yang perlu sebelum memikirkan kemampuan berkahwin itu sendiri. Ini sangat menarik kerana bila sebelum berkahwin sanggup berjanji sehidup semati, sedangkan di mulut naga akan ku rampas jua, ku genggam bara menjadi abu, dalam hatiku hanya ada dirimu (puihhhhh..maaf tidak sopan pula) tetapi bila disebut persediaan. Langsung tiada, jadinya baik bercinta dengan tiang lampu. Oleh yang demikian penulis mengutarakan pendapat beliau yang bernas dalam persediaan ini.

Penulis juga menjelaskan konsep cinta sebenar dalam konteks Islam. Penulis menceritakan pengalaman beliau bertunang selama dua tahun dan bagaimana penulis dan pasangan menjaga batasan masing-masing dan tetap dengan pendirian. Perasaan ini fitrah semulajadi, bagaimana kita mengawalnya itu kunci sebenar yang perlu kita fahami.

Kesimpulannya saya berpendapat buku ini amat sesuai untuk dimiliki dan dihayati oleh pembaca khususnya lelaki. Ini adalah kerana tanggungjawab lelaki lebih besar, sekiranya tiada persediaan yang rapi berkemungkinan akan goyah di pertengahan jalan. Bagi saya buku ini setaraf dengan hasil karya Fatimah Syarha iaitu Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul. Jujur buku ini harus anda miliki.

Sekian perkongsian saya dalam penulisan kali ini. Yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu atas kelemahan saya ini.

Sudut Pemikiran: Osman.Z

No comments:

Post a Comment